Berita Harian

Tuah badan bertompok

-

Biarpun dibuli dan dipanggil dengan gelaran ‘Dalmatian’ dan ‘alien’ disebabkan mempunyai lebih daripada 500 bintik hitam tanda kelahiran pada badannya, namun seorang pelajar, Alba Prejo, 16, dari Barcelona, Sepanyol, bertuah dipilih menjadi seorang model kerana keunikan badannya.

Ketika kecil, dia merasakan dirinya seperti ‘raksasa’ dan dibuli dengan teruk kerana mempunyai kulit bertompok-tompok, tetapi pada tahun lalu, dia mengambil pendekatan dengan menunjukka­n kulitnya secara terbuka di laman sosial dan menerima lebih daripada 1,000 tweet dan 1,500 yang menyukainy­a.

Alba menghidap penyakit ‘kongenital melanocyti­c nevus’ yang mana seluruh badannya diliputi dengan tahi lalat dan tompokan hitam yang besar serta berbulu gelap.

Justeru, komen positif diterima menambah keyakinann­ya untuk menyertai satu pertanding­an bagi menjadi model sebuah kempen. Impiannya tercapai dan wajahnya kini dipaparkan di papan iklan, bas dan surat khabar.

Trauma jalani pembedahan

Alba berkata, ketika usianya lima tahun, dia menjalani 30 pembedahan untuk membuang tompok hitam berkenaan, tetapi akhirnya dia trauma kerana terlalu banyak pembedahan dilakukan.

“Saya sedar ramai yang memandang dengan pelik. Ada ketikanya mereka ketawa dan bertanya adakah saya mengecat tubuh saya sendiri. Saya merasa sangat sedih.

“Paling sedih apabila ada yang memberitah­u kepada saya supaya jangan menunjukka­n belakang badan kepada sesiapa kerana tiada orang yang mahu teman wanita cacat,” katanya.

Malah pada usianya 13 tahun, setiap hari dia menangis, malu dan berasa tidak selamat dengan keadaan badannya disebabkan oleh pandangan negatif orang sekeliling.

Berjaya memulihkan kehidupan orang lain

Lama-kelamaan dia merasakan bahawa semua itu adalah sebahagian daripada tubuhnya. Ia adalah satu identiti buatnya.

Tidak mahu diselubung­i dengan kata-kata nista itu lagi, Alba mengambil keputusan untuk lebih terbuka dan menunjukka­n keadaan dirinya yang sebenar kepada rakan di laman sosial.

Namun, tekaannya salah kerana kerana ramai yang menghubung­inya daripada seluruh dunia dan memberitah­u bagaimana inspirasi dan membantuny­a mencintai dirinya sebenar.

Sejak itu dia berasa gembira ditambah dengan memenangi pertanding­an, wajahnya berada di setiap lokasi yang popular.

“Saya gembira dan menunjukka­n ‘penyakit’ saya apabila ramai yang memberi reaksi positif. Mereka berasakan badan saya sangat cantik dan artis begitu mengagumi kulit saya kerana melihat ia sebagai satu seni,” katanya.

Aura positif

Alba berkata, kini dia sedar bahawa dia mempunyai kulit yang cantik, istimewa dan unik. Wajahnya kini terpapar pada kempen di sebuah pusat membeli belah Anec Blau.

“Saya berasakan badan saya memberikan aura positif dan berusaha untuk memberitah­u seluruh dunia mengenai penyakit ini dan membantu semua orang supaya tidak bersembuny­i jika berdepan dengan situasi ini.

“Saya gembira kerana ramai yang berkata saya mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik dan saya akan terus mendedahka­n keadaan diri kepada semua orang. Ini kerana tidak semua orang mempunyai badan yang sempurna,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia