Berita Harian

Muhammed mahu kembalikan fungsi Undang

Istiadat Kerjan sempurnaka­n upacara pengisytih­aran Undang Luak Johol Ke-15

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi tuty@bh.com.my

Menggunaka­n tagline ‘Undang Mendekati Rakyat’, Undang Luak Johol Ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Muhammed Abdullah, berharap usaha itu mampu mengembali­kan fungsi Undang di negeri ini.

Negeri Sembilan mempunyai empat luak yang mempunyai Undang, iaitu Luak Sungai Ujong, Rembau, Johol dan Jelebu, manakala Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin.

Muhammed, 51, berkata selain bertugas sebagai ketua adat istiadat, ketua agama dan pemerintah tertinggi di luak jajahan, Undang juga berperanan menjaga kepentinga­n rakyat.

Beliau yang dipilih pada 27 Mac tahun lalu untuk memegang jawatan itu, berkata misi utamanya ketika ini adalah menubuhkan Yayasan Datuk Undang Muhammed.

Tubuh yayasan

“Yayasan ini bertujuan menjaga kebajikan penduduk tanpa mengira bangsa rakyat yang tinggal di luak jajahan saya. Kini proses menubuhkan yayasan berada pada peringkat akhir dan berharap dapat direalisas­ikan pada tahun ini,” katanya di sini.

Pengisytih­aran Muhammed sebagai Undang Luak Johol Ke-15, mencapai kemuncak apabila Istiadat Kerjan diadakan di Johol, Kuala Pilah selama lima hari bermula Khamis lalu.

Kerjan bermaksud pertabalan mengikut adat sesuatu luak selepas seseorang itu dilantik sebagai Undang.

Istiadat Kerjan bermula dengan mandi bersiram di Perigi Gondang, yang terletak di Kampung Bukit Istana dekat Air Mawang, Kuala Pilah.

Kemudian diteruskan dengan adat Menaikkan Daulat di Makam Gobah, majlis tahlil dan doa selamat di makam berkenaan lalu diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia oleh Datuk Adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol di Balai Undang Johol di Renggoh.

Sementara itu, Muhammed berhasrat bekerjasam­a dengan pelbagai pihak, membantu memajukan tanah adat yang terbiar, dengan mengusahak­an tanaman herba, sekali gus dapat menjana pendapatan penduduk setempat.

Beliau berkata, ketika ini sudah ada pelabur berminat untuk mengusahak­an tanaman yang mendapat permintaan untuk dieksport ke China.

“Selain itu, bagi mendekati generasi muda, saya bercadang mengadakan aktiviti bersukan seperti pertanding­an bola sepak serta mewujudkan galeri adat supaya mereka lebih memahami mengenai Undang,” katanya.

 ?? [FOTO ADZLAN SIDEK/BH] ?? Pengisytih­aran Muhammed sebagai Undang Luak Johol Ke-15, mencapai kemuncak apabila Istiadat Kerjan diadakan di Johol.
[FOTO ADZLAN SIDEK/BH] Pengisytih­aran Muhammed sebagai Undang Luak Johol Ke-15, mencapai kemuncak apabila Istiadat Kerjan diadakan di Johol.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia