Berita Harian

Rekod buruk hantui Argentina

-

Sao Paulo: Argentina adalah naib juara Piala Dunia sebelum ini namun kali ini mereka semakin tertekan untuk layak ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Tekanan itu akan lebih dirasai dalam perlawanan awal pagi esok menentang Bolivia dalam keadaan udara nipis di La Paz, yang terletak di Andes pada ketinggian 3,650 meter.

Argentina tidak pernah menang ketika beraksi di sana sejak 2005 yang pasti akan menambah tekanan buat mereka.

Pencabar dari Amerika Selatan, Brazil sedang bersedia untuk layak lebih awal jika mereka menewaskan Paraguay di Sao Paulo.

Untuk mara daripada kumpulan Amerika Selatan, pendahulu kumpulan itu perlukan kemenangan dan keputusan lain memberi kelebihan buat mereka namun menang atau kalah, Brazil akan tetap ke Piala Dunia Russia tatkala berbaki lima perlawanan kelayakan.

Pasukan tangga kedua, Uruguay berdepan perlawanan perlu dimenangi menentang pasukan bawahan Peru, dan pasukan tangga keempat Colombia menghadapi ujian sebenar menentang pasukan tangga kelima Ecuador.

Tidak gentar

Argentina mempamerka­n persembaha­n buruk Khamis lalu namun berjaya menewaskan Chile 1-0 di Buenos Aires selepas diberikan penalti kontrovers­i yang disempurna­kan bintang Barcelona, Lionel Messi.

Pasukan pelawat itu akan kehilangan pemain tengah Barcelona yang digantung, Javier Mascherano, yang membuatkan jurulatih Edgardo Bauza mula memikirkan perubahan dramatik dalam pasukannya.

Sebelum kemenangan berdepan Chile dan kehilangan Mascherano, Bauza sedang memikirkan untuk formasi bertahan 5-4-1 di La Paz, sambil berharap dapat menyelamat­kan tenaga pemainnya dan menggunaka­n kelebihan mengawal bola dimiliki Mascherano.

Kini dia mungkin akan dipaksa menggunaka­n rentak menyerang yang bergantung kepada serangan balas pantas.

Jurulatih Bolivia, Mauricio Soria, yang menyimpan sebahagian pemain utamanya ketika tewas 1-0 di tangan Colombia Khamis lalu, berkata pasukannya tidak gentar dengan bintang milik Argentina dan akan terus memberikan tekanan kepada mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia