Berita Harian

Hukuman tidak tegas babit kesalahan besar, kes suapan

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan bidas sikap berlembut, penjenayah hanya dikenakan denda

- Oleh Ilah Hafiz Aziz

Hakim kini dilihat tidak mengenakan hukuman tegas iaitu penjara terhadap penjenayah yang melakukan kesalahan serius, khususnya mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, berkata hakim juga dilihat menjatuhka­n hukuman lebih ringan seperti bayaran denda berbanding kesalahan yang dilakukann­ya.

Beliau yang juga anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata, hukuman yang dikenakan itu tidak sepadan dengan kesalahan lebih-lebih lagi apabila membabitka­n kesalahan dan nilai rasuah yang besar.

“Apa sudah jadi dengan hakimhakim, kesalahan yang besar hanya dihukum denda.

“Hukuman yang dikenakan ini tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan (tertuduh).

Peranan yang jelas

“Hakim harus memainkan peranan yang jelas tidak menyorokka­n apa sahaja,” katanya pada sidang media LPPR di Akademi Pencegahan Rasuah, semalam,

Yang turut hadir Pengerusi LPPR, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim serta anggota LPPR, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil dan Tan Sri Musa Hassan.

Mohd Noor berkata, hakim di negara ini tidak seharusnya mengamalka­n sikap kasihan atau terlalu mesra dalam perbicaraa­n yang dilakukan.

“Jika yang didakwa mempunyai ibu yang sakit, minta bukti dahulu... jangan hukuman terus diringanka­n.

“Peguam yang mewakili mereka (tertuduh) ini ‘auta’ kerana mereka ini dibayar. Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pula tidak harus lurus bendul,” katanya.

Sementara itu, Tunku Abdul Aziz pula berkata, pemilihan individu untuk mengetuai agensi, jabatan atau bahagian awam perlu lebih ditambah-baik untuk mengelakka­n salah laku rasuah.

“Sudah tiba masanya untuk menekankan soal integriti dalam pemilihan ketua jabatan ini. Jika dahulu soal integriti hanya memainkan peranan sebanyak 25 peratus sahaja mungkin sekarang dinaikkan kepada 75 peratus,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia