Berita Harian

Ibu sebak anak ke tali gantung

Pemandu lori didapati bersalah edar 2.7kg ganja

- Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

Seorang ibu hanya mampu menitiskan air mata sebaik Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas anaknya yang juga pemandu lori selepas didapati bersalah mengedar 2.7 kilogram ganja tiga tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohamad Lufti Jaffar, 35, turut dijatuhi hukuman tiga tahun penjara bermula tarikh tangkapan iaitu 26 Julai 2014 dan lima sebatan atas satu lagi kesalahan iaitu memiliki 34 gram dadah sama.

Che Mohd Ruzima menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes prima facie dan melampaui keraguan munasabah bagi keduadua pertuduhan dihadapi tertuduh.

Penafian semata-mata

“Mahkamah mendapati pembelaan adalah dalam bentuk penafian sematamata dan juga pembelaan dalam bentuk pemindahan (kesalahan) kepada seseorang lain yang tidak wujud atau diada-adakan,” katanya.

Selain ibu tertuduh, seorang daripada dua anaknya dan beberapa ahli keluarga terdekat turut berada di mahkamah.

Bagi tuduhan pertama, Wan Mohamad Lufti didapati bersalah mengedar 2.748 kilogram dadah berkenaan di hadapan premis GD Express Sdn Bhd di No 213, Jalan Taiping, Parit Buntar, kira-kira jam 12.10 tengah malam, 26 Julai 2014.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Wan Mohamad Lufti juga didapati bersalah mengikut Seksyen 6 ADB kerana memiliki 34 gram ganja di lokasi, masa dan tarikh sama serta sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun dan boleh dirotan antara tiga hingga sembilan sebatan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Khairil Khalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia