Berita Harian

Pegawai RELA antara dalang

Siasatan dapati 26 senapang patah dijual sehingga RM3,000 selaras

- Oleh Suzalina Halid

Siasatan mendapati kehilangan 26 senapang patah milik Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) Selama, Perak, didalangi seorang pegawai jabatan itu di daerah berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata suspek berusia 55 tahun yang kini bertugas di Pengkalan Hulu, Perak, dikatakan menjual senjata api itu di antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap laras, dengan kebanyakan pembeli dalam kalangan kenalan rapatnya termasuk anggota RELA sendiri.

Katanya, polis sedang menyiasat motif penjualan senapang patah itu terutama kerana khuatir digunakan untuk tujuan jenayah.

“Dia jual antara RM1,000 hingga RM3,000... sangat murah tetapi hukuman sangat berat. Ini perlu pihak media perjelaska­n kepada semua bahawa penjualan dan pemilikan senjata api tanpa lesen hukumannya berat,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Sehingga kini 14 individu ditahan di sekitar Taiping, Gerik, Selama dan Kerian di Perak bagi membantu siasatan.

13 pembeli ditahan

Mereka yang ditahan adalah pegawai RELA terbabit serta 13 pembeli senapang patah, iaitu 11 anggota RELA dan masingmasi­ng seorang anggota tentera dari Kem Sungai Buloh, Selangor dan orang awam, yang semuanya berumur antara 29 hingga 56 tahun.

Tugas hakiki pembeli senjata api adalah pekebun, nelayan, kontraktor dan pemandu jentera berat. Tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah membabitka­n kes curi kenderaan, mencuri dan judi.

Asri berkata, pihaknya percaya penjualan senjata api dilakukan ketika dalang kegiatan itu bertugas sebagai pegawai RELA di Selama antara 2009 dan 2015.

“Kes itu terbongkar selepas timbul isu ketika serahan tugas di mana suspek utama gagal menyerahka­n senarai senjata api berkenaan kepada penggantin­ya sehingga mencetus rasa curiga.

“Berikutan itu, Bahagian Pelesenan Bukit Aman membuat pemeriksaa­n di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara di Bukit Selambau, sebelum 26 daripada 300 laras senapang patah yang dibekalkan kepada RELA daerah Selama disedari hilang.

“Berikutan itu, 14 suspek ditahan dengan 13 laras senapang patah jenis Harrington & Richardson dan selaras senapang buatan sendiri ditemui semula. Lebih 300 peluru tabur turut dirampas,” katanya.

Asri berkata, polis sudah mengenal pasti 12 lagi individu yang disyaki membeli secara tidak sah baki senapang patah yang hilang itu.

 ?? [FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] ?? Asri Yusoff (tiga dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Nashir Ya (empat kanan) menunjukan 14 daripada 26 laras senapang patah dan peluru milik RELA yang berjaya dirampas daripada suspek serta selaras senapang buatan sendiri di empat daerah sekitar Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam.
[FOTO SHARUL HAFIZ ZAM/BH] Asri Yusoff (tiga dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Nashir Ya (empat kanan) menunjukan 14 daripada 26 laras senapang patah dan peluru milik RELA yang berjaya dirampas daripada suspek serta selaras senapang buatan sendiri di empat daerah sekitar Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia