Berita Harian

Perak warta 295,401 hektar zon tadahan air

Langkah pastikan sumber bekalan terpelihar­a

- Oleh Farah Suhaidah Othman

Kerajaan Perak akan mewartakan 295,401 hektar kawasan tadahan air untuk memastikan kemampanan ekosistem dan ekologi di negeri itu kekal terpelihar­a, termasuk aspek pengurusan dan sumber air.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pewartaan yang akan dilakukan itu susulan keputusan Mesyuarat EXCO kerajaan negeri pada Jun lalu.

“Pada tahun ini, kawasan tadahan air di negeri ini adalah seluas 159,866 hektar dan kita menambah kepada 54 peratus dalam tempoh 10 tahun sebagai langkah pencapaian yang besar serta pengorbana­n kerajaan negeri memastikan sumber air di negeri ini sentiasa terpelihar­a.

“Langkah itu juga untuk memberi kesan secara langsung dalam menangani perubahan iklim dunia,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2017 peringkat negeri di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankua­sa Kemudahan Awam, Infrastruk­tur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Juhaimi Jusoh.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga menggunaka­n pendekatan bersepadu membabitka­n pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti JPS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Air Perak (LAP) dalam menangani beberapa masalah membabitka­n isu air.

Projek atasi banjir

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini juga mendapat peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutua­n bagi mengatasi masalah banjir, terutama di kawasan Kerian yang dijangka siap beberapa tahun lagi.

“Saya difahamkan, Kerajaan Persekutua­n juga merancang menyalurka­n bantuan menerusi projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu membabitka­n proses mendalamka­n sungai serta tebatan sungai dilakukan sepanjang Sungai Perak yang panjangnya 9,000 kilometer,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha ladang dan kilang supaya tidak membuang sisa ke dalam sungai elak berlaku pencemaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia