Berita Harian

Kesetiaan dalam politik persoalan sukar dihurai

-

Benarkah ada kesetiaan dalam politik? Memang sukar untuk dihuraikan kerana ia berkait dengan kuatnya prinsip politik sang politikus. Persoalan juga timbul, apakah kesetiaan politik harus dilihat daripada kesetiaan terhadap tokoh atau parti yang disertainy­a? Apakah dikira berprinsip seseorang itu jika dia menyertai parti politik, maka sampai akhir hayatnya dia tetap setia kepada parti berkenaan biar pun prinsip perjuangan parti sudah lari daripada perjuangan sebenarnya?

Apakah dikira setia seseorang pengikut sekiranya pemimpin yang mengepalai partinya sudah lari daripada prinsip perjuangan sebenar? Sekiranya dua tokoh pemimpin dalam parti berkonflik, apakah mereka akan tetap bertahan dalam parti atau mengambil keputusan keluar dari partinya?

Memang prinsip kesetiaan harus dinilai sebagai nombor ‘wahid’. Namun, apakah patut ia menjadi keutamaan ketika mana pemimpin sudah lari jauh daripada landasan perjuangan­nya? Kenyataan yang selalu kita perhatikan dalam dunia politik ialah mudahnya tokoh politik bermusuh bila mereka mula berkonflik.

Kita biasa melihat bagaimana seseorang ahli politik itu boleh ber- sama dan begitu akrab kerana mempunyai kesamaan pandangan dan kepentinga­n. Namun, jika suatu ketika nanti mereka berbeza pandangan dan kepentinga­n, maka kita melihat hubungan mereka akan bertukar menjadi musuh.

Konflik punca perpecahan

Sering kali konflik dan permusuhan dua tokoh itu pula akan membawa perpecahan dalam parti. Mereka yang dahulunya berkawan dan bersahabat mula menjarakka­n diri. Jika ahli politik berkenaan tokoh berpengaru­h dan punya pengikut, maka akan berlaku konflik pada peringkat akar umbi. Maka, wujudlah fraksi di dalamnya. Jika ini yang berlaku, maka akan banyak masalah yang timbul dan jika tidak dipantau oleh ketua parti, maka akan hancurlah parti itu.

Justeru, demi kepentinga­n parti maka ketua parti harus bertindak bijak dan tegas untuk membetulka­n keadaan. Ketua parti mesti berupaya mengelola solidariti serta kesetiaan pengikut terdekatny­a serta pengikut pada peringkat akar umbi. Memang sulit dan berat menjadi ketua parti. Ketua parti boleh sahaja disesatkan oleh maklumat yang ‘membodek’ dan katakata yang muluk semata-mata sehingga pemimpin itu kecundang. Inilah yang dikatakan ‘sokong membawa rebah.’

Jika dia merasakan permasalah­an timbul daripada kelemahan kepemimpin­annya atau integritin­ya sudah tidak dipercayai lagi, maka jalan yang patut diambil ialah melepaskan kedudukan dan diserahkan kepada tokoh yang dipercayai.

Kesetiaan kepada rakyat

Kesetiaan politik juga tidak harus dilihat dalam konteks kepartian semata-mata. Malah, dalam konteks yang lebih luas skalanya, kesetiaan itu harus berkait dengan rakyat. Ertinya kesetiaan dari atas ke bawah. Ahli politik yang dipilih oleh rakyat harus setia pada rakyat dalam pengertian ia mesti setia pada perjuangan membela kesejahter­aan rakyat.

Pastinya, seorang ahli politik yang setia kepada rakyatnya akan dipilih lagi oleh rakyat. Ahli politik yang sebegini biasanya memiliki jiwa besar kerana dia akan menyandark­an perjuangan­nya untuk rakyat dan jika dia merasakan rakyat tidak menghendak­inya maka dia bersedia berundur dari kedudukann­ya itu.

Jelaslah kepada kita, betapa sukarnya memikirkan hal berkaitan kesetiaan dalam politik. Kata bijak pandai, politik itu oportunis, politik itu kotor dan politik itu sukar untuk dijangkaka­n.

Pada hemat penulis, keutuhan prinsip politik seseorang itu memberi gambaran mengenai pendiriann­ya dan pada posisi mana sebenarnya dia berada. Jika prinsip politiknya untuk memperjuan­gkan kebenaran dan nasib rakyat, maka pasti dia akan mengutamak­an harga dirinya.

Orang yang bijak boleh menilai tindakan seseorang ahli politik itu. Jika dia keluar parti kerana wang dan kedudukan maka dia tidak punya harga diri. Inilah dinamakan ‘politik oportunism­e.’ Sebaliknya, jika ahli politik itu keluar parti kerana mempertaha­nkan prinsip kebenaran dan kepentinga­n rakyat, maka politikus itu punya harga diri dan akan dihargai rakyat.

Hakikatnya, kesetiaan dalam politik itu bukan dinilai daripada perkataan, tetapi sifat kesetiaan politik itu harus dilihat dari keupayaan mempertaha­nkan prinsip politik. Demikian juga, kesetiaan politik tidak harus dilihat dari kesetiaan terhadap tokoh, tetapi kesetiaan politik itu harus dilihat pada keupayaan berpegang pada prinsip politik itu sendiri.

Kesetiaan politik juga tidak harus dilihat dalam konteks kepartian semata-mata. Malah, dalam konteks yang lebih luas skalanya, kesetiaan itu harus berkait dengan rakyat. Ertinya kesetiaan dari atas ke bawah. Ahli politik yang dipilih oleh rakyat harus setia pada rakyat dalam pengertian ia mesti setia pada perjuangan membela kesejahter­aan rakyat”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia