Berita Harian

Jurujual didakwa pandu melulu

KES 8 REMAJA BERBASIKAL MAUT NAHAS DI JOHOR BAHRU

- Oleh S Anand Kumar dan Mohd Fahmi Mohd Yusof

Seorang jurujual wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik, di sini, semalam, atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabka­n kematian lapan remaja berbasikal dalam kejadian pada 18 Februari lalu.

Sam Ke Ting, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Salina Omar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabka­n kematian lapan penunggang basikal pada jam 3.20 pagi, 18 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, Ke Ting didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Trafik di sini, pada jam 8.45 pagi dengan memakai jaket, berjeans dan bertopeng muka sebelum diiringi pegawai polis ke kamar mahkamah.

Pendakwaan dikendalik­an Pengarah Pendakwaan Johor, Roslan Mat Nor, manakala tertuduh diwakili peguam, Faizal Mokhtar dan Bus- taman Menon Abdul Hamid Menon.

Pihak peguam bela dalam hujahnya memaklumka­n mahkamah anak guamnya bukan dari keluarga kaya atau anak kenamaan seperti didakwa di media sosial.

Katanya, tertuduh hanya bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM2,000 sebulan dan tinggal di kediaman teres di bandar raya ini bersama ibu bapa serta empat adikberadi­k.

Mahkamah kemudian membenarka­n tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahka­n pasportnya diserahkan kepada mahkamah, manakala lesen memandunya digantung sehingga selesai prosiding.

Sebutan semula bagi pengurusan kes ditetapkan pada 13 April ini.

 ??  ??
 ??  ??
 ?? [ FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH ] ?? Ke Ting dibawa ke Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru, semalam.
[ FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH ] Ke Ting dibawa ke Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia