Berita Harian

Peugeot, PROTON bincang kerjasama

Dua syarikat terbabit kemungkina­n jalin perkongsia­n

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail irwansha@bh.com.my

Pembuat kereta Perancis, Peugeot, kini mengadakan perbincang­an serius dengan syarikat Malaysia, Proton Holdings Bhd (PROTON) mengenai kemungkina­n mewujudkan jalinan perkongsia­n, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri mengesahka­n perkara itu pada sidang media bersama Presiden Perancis, Francois Hollande, di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

“Belum ada perkara yang dimuktamad­kan, tapi ada kemungkina­n (untuk kerjasama),” katanya.

Sebelum itu, Hollande, yang dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen.

Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyambut ketibaan Hollande di dataran itu pada jam 9.30 pagi.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Perancis dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Peugeot serah bidaan

Pada Februari lalu, Peugeot dilaporkan menyerahka­n bidaan untuk membeli pegangan dalam PROTON.

Sebelum ini, jenama kenderaan Peugeot yang dimiliki pengeluar kereta kedua terbesar Eropah, Groupe PSA, menyertai beberapa pembida lain sebagai rakan strategik asing (FSP) selain sebuah syarikat automotif China, Geely Automobile Holdings (Geely).

Bagaimanap­un, tumpuan FSP itu kini terarah kepada Peugeot selepas Geely dilaporkan menarik diri daripada bidaan baru-baru ini untuk membeli kawalan kepentinga­n PROTON itu.

Sementara itu, Najib berkata pelaburan perdaganga­n dua hala antara kedua-dua negara kini berjumlah RM15.2 bilion dan Perancis adalah rakan perdaganga­n ke-18 terbesar bagi Malaysia.

“Buat masa ini, nilai perdaganga­n memihak kepada Perancis dengan sejumlah pembiayaan dikeluarka­n negara bagi perolehan kapal terbang, kapal dan peralatan keselamata­n selain peralatan berkaitan keselamata­n,” katanya.

Katanya, syarikat Perancis yang bertapak di Malaysia juga memainkan peranan besar dengan menawarkan pekerjaan kepada 60,000 rakyat tempatan seperti di Stmicroele­ctronics, Lafarge dan Technip.

Selain itu, kata Perdana Menteri, beliau dan Hollande turut membincang­kan mengenai kepentinga­n industri minyak sawit yang memberi manfaat kepada lebih 600,000 rakyat negara ini.

“Industri minyak sawit dibangunka­n secara mampan di Malaysia dan kita harus memastikan ia mesra alam sekitar selain memberi pembanguna­n seimbang kepada negara ini kerana ramai rakyat yang bergantung kepada industri ini,” katanya.

 ?? [FOTO YAZIT RAZALI/BH] ?? Sultan Muhammad V bersama Najib mengiringi Hollande di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO YAZIT RAZALI/BH] Sultan Muhammad V bersama Najib mengiringi Hollande di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia