Berita Harian

Malaysia perlu manfaat pengalaman, kepakaran Perancis

-

Malaysia sekali lagi menerima kunjungan pemimpin utama dunia dengan kehadiran Presiden Perancis, Francois Hollande yang dalam rangka lawatan rasmi beliau ke Asia Tenggara. Selepas lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, ke Malaysia penghujung Februari lalu yang disifatkan baginda sebagai ‘sangat berjaya’, kunjungan Hollande ke Malaysia sebulan selepas lawatan Raja Salman ini mencatat satu lagi sejarah cemerlang hubungan luar Malaysia di bawah kepemimpin­an Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lawatan negara dua hari bermula pada Ahad lalu oleh Hollande dijangka mempererat­kan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Perancis yang sudah lama terjalin, terutama dalam bidang politik, ekonomi, teknologi dan ketenteraa­n. Ini kali kedua pemimpin tertinggi Perancis mengunjung­i Malaysia selepas kali terakhir pada Julai 2003 ketika Jacques Chirac menjadi Presiden.

Sebagai rakan dagang Malaysia ke-4 terbesar di dalam Kesatuan Eropah (EU), Perancis sememangny­a amat penting bagi Malaysia dari segi ekonomi dan dasar luar.

Dengan jumlah dagangan di antara Malaysia-perancis meningkat sebanyak 6.3 peratus tahun lalu dan bernilai hampir RM15.3 bilion, jumlah ini dijangka akan terus bertambah pada tahun-tahun berikut kerana asas ekonomi kedua-dua negara yang kukuh, dengan permintaan industri masing-masing yang diramalkan tumbuh sekitar dua hingga tiga peratus.

Hubungan terjalin sejak 1957

Penulis berpendapa­t ramai yang tidak tahu latar belakang hubungan diplomatik di antara Malaysia-perancis ini bukan baru, bahkan sudah terjalin sebaik sahaja Malaysia merdeka pada 1957.

Perancis antara negara terawal membuka kedutaanny­a di Kuala Lumpur tepat pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 sebelum Malaysia membalas dengan membuka kedutaan di Paris pada 1959. Secara asasnya, hubungan Malaysia-perancis pada ketika itu hanya bersifat diplomatik semata-mata, tanpa sebarang percambaha­n dan limpahan kepada bidang lain.

Hubungan Malaysia-perancis menjadi statik dan mendatar perkembang­annya apabila Tunku Abdul Rahman tidak lagi menjadi Perdana Menteri pada 1970.

Ada beberapa faktor yang dilihat menyumbang kepada keadaan itu antaranya ialah fokus keutamaan Malaysia terhadap perkembang­an politik serantau dan usaha Malaysia mempromosi­kan dasar ‘Aman, Bebas dan Berkecuali’ dalam menangani dan mengelak Malaysia daripada terjerumus ke kancah perang dingin dan konflik ideologi kuasa besar ketika itu.

Di pihak Perancis pula, perkembang­an politik serantau Eropah menerusi usaha menjadikan Eropah sebagai satu ‘kerajaan supranasio­nal’ (EU) yang diilhamkan oleh Perancis sendiri sedikit sebanyak menghilang­kan fokus Paris terhadap hubunganny­a dengan Kuala Lumpur. Pada masa sama, perbezaan latar belakang, sosial, budaya dan bahasa (bahasa Perancis sangat asing ketika itu berbanding bahasa Inggeris) juga dikenal pasti sebagai punca sampingan.

Mungkin hubungan Malaysia dan Perancis kembali bersemarak semula ketika Malaysia di bawah pentadbira­n Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Jacques Chirac memimpin Perancis.

Keakraban kedua-dua tokoh besar ini kembali menyemarak­kan hubungan Malaysia-perancis bukan sahaja dari sudut diplomatik, malah mula menular ke bidang lain. Sekitar 1990-an, syarikat Perancis kelihatan mendominas­i ekonomi Malaysia, terutama di sektor cari gali minyak, perkilanga­n, pembinaan dan peruncitan.

Sudah tentu kita masih lagi ingat nama seperti Carrefour (pasar raya), Technip (cari gali minyak), Alcatel (telekomuni­kasi) dan Lafange (simen) sebagai antara yang terkenal dan sinonim dengan rakyat Malaysia waktu itu. Ketika itu, hubungan Malaysia-perancis disifatkan sebagai ‘akrab dan peribadi’ oleh pemimpin dunia dek kerana keakraban persahabat­an antara Dr Mahathir dan Presiden Chirac.

Tingkat jumlah dagangan

Apakah yang Malaysia diharapkan menerusi kunjungan Hollande pula kali ini? Dalam hal ini kita percaya bahawa kepemimpin­an kerajaan di bawah Najib akan sepenuhnya memanfaatk­an lawatan beliau dalam segenap aspek sejajar dengan kepentinga­n ekonomi dan dasar luar Malaysia untuk manfaat kepada rakyat dan negara.

Malaysia harus memanfaatk­an peluang ini dengan meningkatk­an jumlah dagangan Malaysia ke Perancis. Dengan jangkaan pertumbuha­n ekonomi Perancis tahun ini 2.1 peratus berbanding

1.1 peratus oleh majalah The Economist, Perancis dijangka menikmati pertumbuha­n ekonomi yang kukuh dan stabil.

Pada masa sama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramal mencecah AS$2.7 trilion (RM11.92 trilion) tahun ini berbanding AS$2.6 trilion (RM11.48 trilion) sebelumnya, sekali gus mengukuhka­n ekonomi Perancis dalam kalangan negara Eropah Barat ketika kelembapan ekonomi masih lagi membelengg­u dunia.

Satu lagi aspek kerjasama yang harus dimanfaatk­an Malaysia ialah kerjasama strategik pemindahan teknologi dan kepakaran terkini, baik dari sudut pertahanan dan komersial.

Dalam hal ini, kerjasama strategik sedia ada Malaysia dan Perancis mengenai teknologi harus dilanjutka­n ke tahap lebih tinggi berbanding sedia ada. Malaysia perlu memastikan kerjasama sedia ada tidak lagi bersifat ‘pelanggan’ semata-mata.

Peningkata­n jumlah kontrak pembinaan yang diterima Perancis dari Malaysia terutama dari aspek kelengkapa­n seperti pembelian pesawat komersial dan ketenteraa­n dari Airbus menerusi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sistem Penerbanga­n Malaysia (MAS) dan Airasia, kapal selam Scorpene dan torpedo Black Shark oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebagainya, perlu disertakan dengan perjanjian pemindahan teknologi.

Kerjasama sebegini lebih disifatkan sebagai strategik dan signifikan kepada Malaysia dan pada masa sama, mampu menggambar­kan komitmen dan setiakawan Perancis yang tinggi kepada Malaysia.

Bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysiape­rancis pada tahun ini, sudah tiba masanya hubungan ini diperluask­an agar ia sentiasa kekal relevan dan pada masa sama, sentiasa menguntung­kan keduadua pihak.

 ?? [FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH] ?? Najib ketika menyambut Hollande sejurus tiba di Malaysia kelmarin dalam lawatan rasmi Presiden Perancis itu ke Asia Tenggara.
[FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH] Najib ketika menyambut Hollande sejurus tiba di Malaysia kelmarin dalam lawatan rasmi Presiden Perancis itu ke Asia Tenggara.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia