Berita Harian

Papan lapis teras batang kelapa sawit

- Oleh Nor Azma Laila norazma@bh.com.my ̌ Serdang

Pembaziran batang kelapa sawit yang jarang digunakan kerana ketumpatan sangat rendah mendorong penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilk­an inovasi panel sandwic anyaman teras batang kelapa sawit sebagai bahan binaan tahan lasak.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan UPM, Dr Norul Hisham Hamid, berkata idea mencipta produk itu bertujuan mengatasi masalah kadar pemulangan venir yang rendah, iaitu sekitar 25 hingga 30 peratus saja bagi batang kelapa sawit dalam pembuatan papan lapis.

Beliau berkata, ketumpatan bahagian teras batang kelapa sawit adalah sangat rendah, iaitu 300kg/m3, sekali gus menyebabka­n strukturny­a longgar, lembut dan memiliki ketelapan yang tinggi.

Bakal dipatenkan

“Begitupun, bahagian teras batang kelapa sawit yang lembut ini ada kelebihan dari segi lebih elastik dan mudah dianyam. Oleh itu, teknik anyaman dipilih kerana dapat menguatkan struktur orientasi gentian venir kelapa sawit serta lebih murah, mudah dan sedang diadaptasi di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, teknik anyaman terbabit boleh menggunaka­n mesin dan peralatan penghasila­n papan lapis seperti biasa tanpa perlu melabur untuk pembelian jentera yang besar.

“Teknik ini cuma memerlukan alat untuk menghasilk­an jalur venir dan tangki bagi merendam venir dalam resin, justeru pelaburan adalah amat minimum dan boleh diserap bersama kos pembelian batang kelapa sawit tua (berusia 25 hingga 35 tahun) yang percuma.

“Bagi produk ini, saya menggunaka­n resin dengan formulasi rahsia untuk membentuk anyaman venir dan dijangka akan dipatenkan tahun ini,” katanya.

Dr Norul Hisham berkata, antara keistimewa­an produk itu ialah memiliki kekuatan lentur 100 peratus lebih tinggi dan bengkak ketebalan dalam air 50 peratus lebih rendah berbanding papan lapis daripada pokok pine yang menggunaka­n perekat urea formaldehi­d selepas direndam dalam air selama 120 jam.

Pelbagai kelebihan

“Produk ini juga ada kekuatan lentur 120 peratus lebih tinggi berbanding papan lapis kalis air didih daripada pokok meranti. Melalui penyelidik­an sebelum ini, ada juga penyelidik menggunaka­n papan lapis pokok kelapa sawit tetapi tanpa anyaman.

“Namun apabila dianyam, kekuatan lenturnya 50 peratus lebih tinggi dan memiliki bengkak ketebalan dalam air 60 peratus lebih rendah,” katanya.

Kelebihan lain dimiliki produk itu ialah dihasilkan daripada bahan sisa batang kelapa sawit yang boleh diperbahar­ui dan bersifat mesra alam, boleh dibina dengan pelbagai ketebalan serta ditambah nilai dengan penyalutan pelbagai corak plastik PVC, venir dekoratif daripada kayu atau dikemas menggunaka­n penyalut jernih dan berpigmen.

Beliau berkata, produk papan lapis itu berpotensi digunakan oleh pembuat atau pengilang pepapan lantai untuk trak, treler, bas dan kontena.

 ??  ?? Dr Norul Hisham menunjukka­n pingat yang pernah dimenangi inovasi panel sandwic anyaman teras batang kelapa sawit.
Dr Norul Hisham menunjukka­n pingat yang pernah dimenangi inovasi panel sandwic anyaman teras batang kelapa sawit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia