Berita Harian

EXCO JOHOR HADAPI 33 TUDUHAN RASUAH

Datuk Abd Latif Bandi bersama perunding hartanah dituduh terima suapan RM30.3 juta

- Oleh Zuraidah Mohamed dan S Anand Kumar

Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor Sebandi bersama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitka­n nilai suapan RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen, semalam.

Abd Latif, 51, yang kini sedang bercuti daripada portfolion­ya, bersama Amir Shariffudd­in Abd Raub, 44, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffudd­in untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatka­n kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta penguranga­n bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek.

Amir Shariffudd­in turut didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif untuk melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatka­n kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu dan penguranga­n bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Kesemua kesalahan dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di beberapa lokasi.

Diwakili lapan peguam

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 16(a)(b) dan Seksyen 24 akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Pengarah Pendakwa Raya SPRM, Datuk Masri Mohd Daud dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amir Nasruddin.

Abd Latif diwakili oleh lapan peguam diketuai Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Amir Shariffudd­in diwakili Azrul Zulkifli Stork.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangk­an mahkamah supaya tawaran ikat jamin ditetapkan sebanyak RM5 juta seorang, namun pihak pembelaan menegaskan jaminan yang tinggi tidak munasabah kerana segala akaun bank dan harta benda milik kedua-dua tertuduh sudah dibekukan.

Dalam hujah rayuannya, Hasnal memaklumka­n kepada mahkamah bahawa Abd Latif tidak sihat selain perlu menanggung isteri dan empat anak termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) serta menjaga ibu mertuanya berusia 78 tahun.

Mahkamah membenarka­n kedua-dua tertuduh dikenakan jaminan masing-masing RM2 juta dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraa­n.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Abd Latif gagal membayar wang jaminan dan dibawa ke Penjara Ulu Choh, Pontian, manakala Amir Shariffudd­in menjelaska­n wang jaminan.

Terdahulu Abd Latif dan Amir Shariffudd­in tiba di pekarangan mahkamah diiringi pegawai SPRM dengan menaiki dua kenderaan berasingan sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen, pada jam 9.20 pagi.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] ?? Abd Latif diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] Abd Latif diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia