Berita Harian

Joan perjuang seni karikatur, ilustrasi

Duta Belia TN50 mahu Malaysia miliki dasar seimbang majukan industri kreatif

- Oleh Rohaniza Idris

Duta Belia Transforma­si Nasional 2050 (TN50), Sarah Joan Mokhtar, bertekad untuk berusaha memastikan Malaysia akan lebih maju dan seimbang tanpa meminggirk­an kebudayaan dan kesenian negara menjelang 2050.

Sambil menganggap pemilihann­ya sebagai Duta Belia TN50 satu penghargaa­n kepada industri seni kreatif tanah air, Sarah Joan, 33, mengakui berfikir panjang sebelum bersetuju menerima tawaran itu kerana ia satu tanggungja­wab berat yang memerlukan komitmen dan pengorbana­n.

“Pelantikan ini bukan hanya satu pengiktira­fan kepada sumbangan dalam industri karikatur dan ilustrasi, tetapi atas sumbangan kepada seni kreatif tempatan. Saya rasa kecil kerana duta yang lain lebih menyerlah dan agak dikenali ramai,” katanya ditemui di sini, semalam.

Beliau bersama 12 lagi pakar dan tokoh belia dilantik sebagai Duta Belia TN50 yang berperanan mendekati dan mendamping­i generasi muda bagi mendengar idea serta aspirasi mereka.

Duta Belia TN50 juga akan bersama-sama memacu dan merancakka­n lagi program dan inisiatif yang dirancang di bawah TN50.

Lulusan Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UITM) itu berkata, beliau percaya komitmenny­a sebagai penggiat seni yang bekerjasam­a dengan Balai Seni Visual Negara dalam program seni untuk masyarakat antara kriteria yang melayakkan­nya dilantik sebagai Duta Belia TN50.

Beliau bermula melukis komik seawal usia 15 tahun, dengan karya pertamanya disiarkan dalam majalah komik terkemuka tanah air pada 1990-an, Ujang.

Menang anugerah

Pernah dipilih mewakili Malaysia dalam program belia komik antarabang­sa Lingua Comica di London bawah naungan Asia Europe Foundation, beliau juga pernah dijemput National University Singapore untuk mewakili Malaysia sebagai panel pelukis komik wanita dalam perbincang­an akademik mengenai komik di rantau Asia.

Lebih menarik, beliau juga pemenang Anugerah Industri Muzik untuk Kulit Album Terbaik bagi kumpulan muzik Disagree pada 2010.

Selain itu, Sarah Joan menjadi Pelukis Undangan Atlantic Center for The Arts di Florida, Amerika syarikat, dengan menghadiri program residensi seni selama sebulan bersama pelukis komik dari serata dunia.

Bagi penggiat seni kreatif muda, nama Sarah Joan juga tidak asing kerana beliau aktif dan dikenali ramai di media sosial selain rancak mempromosi­kan seni kartun dan penulisan buku kanak-kanak.

Seni belakang tabir

Menganggap dirinya orang seni belakang tabir, Sarah Joan yang dilantik sebagai Penasihat Rantau bagi Persatuan Penulis dan Ilustrator Buku Kanak-kanak, pernah terbabit dalam usaha penganjura­n aktiviti seperti pameran lukisan Creative Narratives, yang mana pelukis komik tempatan dijemput untuk mempamerka­n karya masing-masing di dalam ruang Galeri 360.

Beliau juga membantu Balai Seni Visual Negara mengadakan acara Komik 24 Jam pada pameran dan demonstras­i komik terbesar yang diadakan 2012.

Mengenai harapannya untuk industri kreatif menjelang 2050, beliau mahu melihat Malaysia masih mengekalka­n dan memelihara budaya dan seni tempatan walaupun negara diiktiraf negara maju.

“Paling penting, dasar dan hak penggiat seni kreatif terus dibela dan diiktiraf dengan meningkatk­an lagi profesiona­lisme bidang berkenaan. Saya mahu Malaysia mempunyai dasar yang seimbang antara sains dan teknologi dengan seni dan industri kreativiti,” katanya.

Paling penting, dasar dan hak penggiat seni kreatif terus dibela dan diiktiraf dengan meningkatk­an lagi profesiona­lisme bidang berkenaan” Sarah Joan Mokhtar, Duta Belia TN50

 ?? [FOTO KHAIRUL AZRY BIDIN/BH] ?? Sarah Joan ketika ditemui BH, semalam.
[FOTO KHAIRUL AZRY BIDIN/BH] Sarah Joan ketika ditemui BH, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia