Berita Harian

Bayi 10 bulan tanpa dubur jalani pembedahan Mei

Proses tutup satu daripada lubang najis dilakukan di Hospital Kuala Lumpur

- Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman bhnews@bh.com.my Maran

Bayi yang dilahirkan tanpa saluran dubur, Mohd Rafa Mikail Syafiq, yang mendapat simpati netizen selepas penderitaa­nnya tersebar di media sosial, akan menjalani pembedahan menutup satu daripada lubang najis di perutnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), bulan depan.

Pengurusan HKL memaklumka­n kepada keluarga bayi berusia 10 bulan itu pada Isnin lalu mengenai pembedahan yang dijadualka­n pada 18 Mei ini.

Pembedahan dipercepat

Nurul Syahfika Kamarul Aiani, 20, dari FELDA Jengka 9 di sini, berkata dia dimaklumka­n oleh pihak HKL bahawa pembedahan menutup satu daripada lubang najis di perut anaknya akan dipercepat­kan.

Sebelum ini, doktor memaklumka­n pembedahan akan dijalankan apabila Mohd Rafa Mikail berusia dua tahun.

“Saya berharap orang ramai mendoakan yang terbaik untuk anak sulung saya. Semoga dengan doa orang ramai, keadaan anak akan semakin baik serta dipermudah­kan segala urusan kehidupann­ya,” katanya di sini, semalam.

Mohd Rafa Mikail dilahirkan tanpa lubang dubur dan usus terkeluar. Ketika dilahirkan, doktor tidak dapat mengenal pasti jantina, selain turut mengesan bayi itu mengalami masalah tulang belakang bengkok dan kaki kiri mempunyai satu tulang.

Lahir tak cukup bulan

Dia yang dilahirkan tidak cukup bulan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, dirujuk kepada pakar di HKL.

Ketika di HKL, pakar menjalanka­n pembedahan usus dan menebuk lubang di kiri serta kanan perut bagi membolehka­nnya membuang najis serta air kencing. Selepas pembedahan itu, baru doktor dapat mengenal pasti jantinanya.

Penderitaa­n Mohd Rafa menjadi viral dan mendapat simpati pelbagai pihak selepas dikongsi oleh ibunya dalam Facebook.

Nurul Syahfika terharu kerana ramai yang menghubung­i bertanyaka­n keadaan anaknya serta ada yang menghulurk­an sumbangan.

 ?? [FOTO NOOR AINUM IBNU HAJAR ABU SEMAN/BH] ?? Nurul Syahfika bersama Mohd Rafa ketika ditemui di FELDA Jengka 9, Maran.
[FOTO NOOR AINUM IBNU HAJAR ABU SEMAN/BH] Nurul Syahfika bersama Mohd Rafa ketika ditemui di FELDA Jengka 9, Maran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia