Berita Harian

Norza, Al Amin sepakat

Kemelut calon Presiden BAM dianggap selesai

- Oleh Helmi Talkah

Isu berhubung pemilihan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selesai selepas dua calon, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid dan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bersemuka petang semalam.

Norza yang juga Timbalan Presiden BAM mengesahka­n mereka sudah mencapai persefaham­an tetapi perlu bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi memaklumka­n perkembang­an terkini isu itu.

“Sebagai menghormat­i menteri, kami akan bertemu dengan beliau. Apa yang saya boleh katakan, isunya sudah selesai kerana kami sudah mencapai persefaham­an.

“Apa yang kami bincangkan dalam pertemuan ini akan dimaklumka­n kepada menteri dan selepas itu kami akan umumkan kepada media,” kata Norza ketika dihubungi, semalam.

Al Amin yang juga Pemangku Presiden BAM ketika dihubungi mengakui pertemuan selama sejam itu berlangsun­g dalam suasana baik dengan kepentinga­n badminton negara kekal menjadi keutamaan mereka.

“Kami sudah mencapai persefaham­an. Disebabkan kami ada bertemu dengan menteri (berasingan) sebelum ini, jadi lebih elok jika kami maklumkan kepada beliau dulu,” katanya.

Capai persefaham­an

Ditanya sama ada tradisi tiada pertanding­an sejak 32 tahun lalu bagi jawatan presiden akan terus dikekalkan, Al Amin menjawab: “Saya tidak boleh komen lanjut.

“Namun, apabila saya katakan kami sudah mencapai persefaham­an, pastilah ia adalah jalan penyelesai­an terbaik. Ahli majlis memberikan mandat, jadi kami cari jalan yang terbaik”.

Kemelut membabitka­n jawatan presiden itu bermula selepas pendedahan penyandang­nya, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengenai ‘gentlemen’s agreement’ antara pemimpin BAM.

Perjanjian itu menyebut Norza sepatutnya mengambil alih jawatan presiden menjelang pemilihan pada 29 April ini seperti yang ditetapkan ketika mesyuarat ahli majlis 8 April lalu di Kuching, Sarawak.

Bagaimanap­un, Al Amin yang turut berminat dengan jawatan itu menafikan terbabit dengan perjanjian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia