Berita Harian

JDT ke pusingan kalah mati

Benam Boeungket Angkor FC untuk kekal di tangga kedua Kumpulan F

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahka­n tempat ke pusingan kalah mati saingan Piala AFC selepas menewaskan Boeungket Angkor FC 3-0 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, semalam.

Kemenangan itu menyaksika­n JDT kekal di tangga kedua Kumpulan F dengan mengumpul 10 mata dan dua mata di belakang pendahulu Global FC.

Berbaki satu lagi perlawanan, Boeungket Angkor di tangga ketiga kumpulan dan hanya mengumpul empat mata sah mengiringi pasukan di kedudukan tercorot, Magwe FC tersingkir dari saingan.

Pengendali JDT, Benjamin Mora melakukan tindakan berani pada aksi malam tadi dengan tidak menyenarai­kan ramai tonggak utama.

Bagaimanap­un, ia jelas tidak menjejaska­n sasaran JDT untuk mencipta kemenangan selepas Safawi Rasid meledak gol pembukaan seawal minit kelapan.

Gerakan berbahaya

Nazmi Faiz Mansor menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-26 hasil sepak lambung yang menarik selepas kesilapan penjaga gol, Sou Yaty yang keluar dari posisinya.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, JDT mendapat peluang terbaik untuk menambah gol ketiga selepas dihadiahka­n sepakan penalti, namun sepakan Azamuddin Akil berjaya diselamatk­an Yaty.

Boeungket Angkor cuba bangkit dengan beberapa gerakan berbahaya di babak kedua namun gagal memecahkan kebuntuan jaringan.

Sebaliknya, ketika perlawanan hanya berbaki 10 minit, Benjamin Mora dilihat masih belum puas apabila membawa masuk penyerang berbisa, Gabriel Guerra dan usaha itu berhasil apabila bekas pemain PKNS FC itu meledak gol ketiga JDT pada masa kecederaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia