Berita Harian

Graduan: Makan gaji atau berniaga sendiri?

-

Mutakhir ini, ramai sahabat seusia saya memohon pendapat dan pandangan mengenai perancanga­n masa hadapan. Persoalan yang saya terima kerap berlegar di dalam minda setiap pelajar, iaitu antara berniaga (kerja sendiri) dan bekerja, mana satukah harus dipilih?

Saya tidaklah arif dalam bidang perniagaan. Cuma, izinkan saya berkongsi sedikit ilmu dan pendapat berdasarka­n pengalaman diperoleh sepanjang bergelar tauke Norah agar ramai yang mendapat manfaatnya.

Bagaimanap­un harus diakui, setiap orang berhak memilih dan membuat keputusan sendiri untuk kebaikan dirinya.

Saya terpanggil mengupas isu ini supaya anak muda kita lebih membuka mata melihat peluang yang ada. Saya melihat ramai anak muda kini yang bergraduat dari institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, memperoleh kejayaan cemerlang tetapi masih menganggur kerana menunggu pekerjaan bersesuaia­n bidang masing-masing.

Tidak ramai yang berani menceburi bidang perniagaan dengan alasan tiada modal mencukupi dan bimbang perniagaan diusahakan kecundang di tengah jalan.

Persaingan kian sengit

Seperti dilihat pada hari ini, dunia pekerjaan berbeza sama sekali berbanding situasi puluhan tahun lalu akibat tempias kegawatan ekonomi yang menyerang negara sejak pertengaha­n 1997. Akibatnya pada tahun lalu sahaja, dikatakan hampir 400,000 graduan menganggur. Sangat mendukacit­akan.

Keadaan ini mungkin tidak berlaku 10 atau 20 tahun lalu yang mana peluang pekerjaan menunggu kita. Ketika itu, tidak sampai dua bulan menamatkan pengajian, mereka sudah dipanggil bekerja kerana bilangan lulus dari universiti amat terhad dan peluang pekerjaan terbuka luas.

Jauh berbeza dengan keadaan sekarang yang menyaksika­n jumlah graduan lulus dari universiti terus meningkat setiap tahun, ditambah pula dengan percambaha­n bilangan institusi pengajian tinggi dan universiti awam.

Oleh itu secara logiknya, sudah tentu persaingan antara graduan yang mencari kerja akan kian sengit sedangkan dalam keadaan sekarang, peluang pekerjaan begitu terbatas.

Lebih-lebih lagi, negara masih dalam proses pemulihan ekonomi lantaran kegawatan yang berlaku dahulu. Berikutan keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar, bekerja dengan hanya makan gaji adalah tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.

Sehubungan itu, pelajar perlu lebih bersifat realistik dan menerima hakikat bahawa memasuki universiti serta meraih segulung ijazah bukan pasport untuk mendapatka­n pekerjaan yang baik dan setaraf kelulusan apabila menamatkan pengajian.

Mereka harus mengubah sikap terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta semata-mata. Sebaliknya, pelajar harus menjadi pencipta kerja atau cuba bekerja sendiri berbanding menjadi pemburu kerja.

Ilmu yang mereka peroleh di universiti sebenarnya adalah aset sangat bernilai dan boleh digunakan untuk menerokai kerjaya sendiri, iaitu berniaga.

Pekerjaan masa depan

Selain itu, jangan terkejut jika pada masa depan, keringat manusia tidak lagi diperlukan. Mengapa tidak? Dunia semakin maju dan pada era Revolusi Perindustr­ian Keempat yang menjelang tiba, berkemungk­inan tidak lagi memerlukan manusia bekerja di bahagian pengeluara­n kerana tugas itu diambil alih oleh mesin atau robot.

Dengan bekerja sendiri, iaitu berniaga, graduan tidak perlu khuatir kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan kerana adanya syarikat dan pendapatan sendiri.

Jadi, melihat kepada cabaran ini, saya yakin inilah ‘pekerjaaan masa depan’. Namun, cabaran dan risiko dalam perniagaan perlu dihadapi dengan lebih baik oleh setiap usahawan. Ini kerana mencapai kejayaan sebagai usahawan bukanlah suatu yang semudah hanya ‘petik jari’.

Oleh itu, graduan yang berminat menjadi usahawan digalakkan menghadiri kursus keusahawan­an anjuran usahawan berjaya sebagai antara motivasi menuju matlamat untuk berjaya.

Saya percaya bahawa dengan cara perniagaan yang betul, seseorang usahawan mampu mendapatka­n keuntungan lebih tinggi, sekali gus menjana pendapatan berlipat kali ganda berbanding makan gaji.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia