Berita Harian

Ceburi bisnes biayai kos sara hidup

- Oleh Sarah Aina Shawal

Kesibukan bergelut dengan cabaran pengajian tahun akhir tidak memudarkan semangat Nik Nur Huda Nik Mohd Zaki, 22, untuk terus mengusahak­an perniagaan beg yang dijalankan secara dalam talian sejak tiga bulan lalu.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabang­sa (IPGKBA) itu terdorong melangkah ke dunia bisnes selepas berdepan kekangan kewangan ekoran peningkata­n kos sara hidup.

Meskipun tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk bergelar usahawan, anak kelahiran Kelantan itu memberanik­an diri demi mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanja­an kerana enggan membebanka­n keluarga.

Lebih-lebih lagi, katanya, trend semasa menyaksika­n jualan produk dalam talian berupaya meraih permintaan tinggi daripada segenap lapisan masyarakat.

Pelanggan berpuas hati

Berbekalka­n modal permulaan RM200, beliau menawarkan aneka beg pilihan remaja dan dewasa yang boleh digayakan ketika bertugas mahupun menghadiri kuliah.

“Melalui laman koreanbags. co, pelanggan boleh memilih pelbagai rekaan, warna dan saiz beg pada harga mampu milik bermula dari RM30.

“Setakat ini, sambutan diterima amat menggalakk­an. Rata-rata pelanggan berpuas hati dengan kualiti produk yang mereka beli walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh 10 hari untuk mendapat barangan ditempah.

Tambah koleksi

“Alhamdulil­lah, saya boleh meraih pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan walaupun hanya fokus berniaga pada hujung minggu kerana tidak mahu pembelajar­an terjejas memandangk­an ini adalah pengajian tahun akhir,” katanya.

Berkongsi panduan menceburi bidang keusahawan­an, Nik Nur Huda berkata, mahasiswa yang ingin berniaga perlu ada kesungguha­n, berani mencuba dan sabar menghadapi pelbagai kerenah pelanggan.

“Berniaga membantu dalam banyak aspek, terutama menimba pengalaman berharga sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya yang merancang menambah koleksi dan menjadi pembekal kepada bakal usahawan lain.

 ??  ?? Antara koleksi beg jualan Nik Nur Huda yang mendapat sambutan ramai.
Antara koleksi beg jualan Nik Nur Huda yang mendapat sambutan ramai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia