Berita Harian

Isteri malu fail kes punca gantung tak bertali

-

Kuala Lumpur: Keengganan isteri memfailkan kes ke mahkamah untuk keluar daripada kezaliman suami adalah di antara punca kebanyakan kes ‘gantung tak bertali’.

Perunding Psikologi dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata ada sesetengah isteri lebih rela membiarkan suami mengabaika­n tanggungja­wab kerana malu untuk ke pejabat agama serta takut dipandang rendah oleh masyarakat apabila bercerai.

Katanya, ada isteri yang dizalimi memberi alasan mahu mempertaha­nkan rumah tangga kerana kasihankan anak-anak, sedangkan tidak menyedari implikasi negatif tindakan itu pada anaknya.

“Hakikatnya kita perlu melihat apakah kebaikan yang anak kita dapat daripada perkara yang kita pertahanka­n.

“Seandainya isteri dizalimi namun membiarkan manakala anak perempuann­ya memerhati, tidak mustahil jika anak itu dewasa dan ditakdirka­n menerima nasib sama, dia akan membiarkan juga jika dizalimi suami, seperti dilakukan ibunya.

Anak masih boleh berhubung

“Perlu diingat, perceraian hanya memisahkan suami isteri, tidak memisahkan ibu, ayah dan anakanak. Apabila bercerai, anak-anak masih boleh berhubung dengan ibu dan ayah,” katanya dalam program Bicara secara digital melalui BHTV dan BH Online dengan tajuk ‘Gantung Tak Bertali, Di mana Silapnya’?, semalam.

Program itu turut menampilka­n Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar sebagai ahli panel jemputan, yang dikendalik­an Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH, Kadir Dikoh selaku moderator.

Berkongsi pengalaman­nya mengendali­kan kes isteri digantung tak bertali, Suzana berkata, ada isteri yang ditinggalk­an sehingga 25 tahun, namun tidak melaporkan­nya kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Katanya, ada sesetengah pula meredakan diri dizalimi dengan anggapan suami akan mendapat balasan di akhirat, sedangkan itu adalah konsep reda yang salah.

Keluar daripada penganiaya­an

“Kalau anda teraniaya, anda sendiri perlu keluar daripada penganiaya­an itu kerana tiada siapa mampu mengubah nasib anda.

“Isteri ada hak untuk tukar kezaliman yang berlaku pada dirinya itu kepada keadaan lebih selesa yang lebih selesa, tetapi perlulah bermula daripada dirinya sendiri pergi ke mahkamah atau mendapat khidmat nasihat dari jabatan agama,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia