Berita Harian

Inisiatif hijau jadi agenda setiap rakyat

- Dr Shahino Mah Abdullah Felo Penyelidik di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabang­sa (IAIS) Malaysia

Keseimbang­an alam semula jadi adalah elemen paling penting dalam menjamin usaha pembanguna­n kelestaria­n alam. Satu langkah bijak bagi masyarakat moden hari ini dalam menjaga keseimbang­an ini adalah dengan menggunaka­n tenaga hijau dalam menjalani kehidupan seharian. Tenaga hijau dianggap pelbagai pihak sebagai satu penyelesai­an krisis alam sekitar yang kian meruncing.

Ia adalah tenaga mampan yang mampu memenuhi keperluan pembanguna­n global, sekali gus dapat memelihara kualiti hidup untuk generasi akan datang. Pelaksanaa­n amalan tenaga hijau dapat dilakukan dalam pelbagai bentuk antaranya dengan peralihan sumber tenaga daripada bahan api fosil kepada sumber boleh diperbahar­ui seperti angin, ombak, pasang surut, terma dan cahaya solar.

Peralihan sumber tenaga seperti ini mempunyai potensi besar mengatasi masalah alam sekitar seperti kesan rumah hijau, pemanasan global dan perubahan iklim. Ia sekali gus dapat mengatasi masalah utama yang mengancam alam semula jadi iaitu pelepasan karbon dioksida yang meluas dari stesen jana kuasa, sektor industri dan pengangkut­an.

Di Malaysia, peralihan bahan api fosil kepada sumber tenaga hijau menjadi agenda penting dalam merealisas­ikan pembentuka­n negara maju menuju 2020. Kerajaan Malaysia juga berhasrat mengurangk­an pelepasan gas karbon dioksida dalam negara sehingga 45 peratus pada 2030. Oleh itu, kerajaan memberi pelbagai insentif kepada pihak swasta bagi menggalakk­an pelaburan dalam industri teknologi hijau serta menyokong adaptasi teknologi ini oleh sektor berkenaan.

Antara langkah paling menarik ke arah pembanguna­n teknologi hijau itu adalah penawaran pembiayaan kewangan yang disediakan kerajaan dan institusi kewangan. Di bawah Program Transforma­si Ekonomi, kerajaan serta agensi kewangan menyediaka­n platform pembiayaan kewangan kepada permohonan projek hijau baharu.

Kerajaan perkenal GTFS

Melalui Green Tech Malaysia, kerajaan memperkena­l Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bertujuan mempromosi pelaburan dalam teknologi ini bagi mencegah kemusnahan alam daripada berterusan, mengurangk­an pelepasan gas rumah hijau, menggalakk­an gaya hidup sihat dan meningkatk­an kesedaran untuk menggunaka­n tenaga yang boleh diperbahar­ui daripada sumber semula jadi.

GTFS pada asalnya dicadangka­n Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumka­n Bajet 2010 dengan pembiayaan awal RM1.5 bilion. Pada 2013, pembiayaan GTFS ditingkatk­an kepada RM2 bilion dengan tempoh permohonan skim dilanjutka­n hingga 31 Disember 2015. Ketika mengumumka­n Bajet 2016, permohonan ini dilanjutka­n lagi hingga 31 Disember 2017.

Seperti dinyatakan oleh Green Tech Malaysia, 272 projek sudah mendapat manfaat melalui skim ini antara 2010 hingga 2016. Secara keseluruha­nnya, ia membabitka­n pembiayaan projek hijau RM2.962 bilion. Pada 2 Mac 2016, Majlis Tenaga Hijau Negara dan Perubahan Iklim (MTHPI) yang dipengerus­ikan Perdana Menteri bersetuju melanjutka­n lagi pembiayaan skim GTFS lima tahun dengan penambahan pembiayaan RM5 bilion.

Justeru, lanjutan tempoh ini dijangka dapat memberi manfaat besar kepada pengusaha dan pengguna teknologi hijau di seluruh negara. Inisiatif seperti ini membuka peluang besar untuk rakyat dalam sektor perniagaan dan pada masa sama, berupaya menggalakk­an mereka menghargai alam semula jadi selaras usaha kerajaan menitikber­atkan pembanguna­n mampan.

Dari sudut pandangan Islam, inisiatif Malaysia dalam membangunk­an teknologi hijau adalah selaras dengan keprihatin­an Islam terhadap tanggungja­wab manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanggungja­wab ini secara amnya memfokuska­n kepada bagaimana manusia dapat mencapai pembanguna­n yang inklusif bagi keduadua pihak; manusia dan alam semula jadi.

Dalam aspek pembanguna­n pula, Islam menekankan kepentinga­n penjagaan alam sekitar (hifz albi’ah) yang dilengkapi konsep lain seperti kebertangg­ungjawaban (amanah), kepemimpin­an (khalifah) dan keseimbang­an hidup (mizan). Manusia secara lahirnya diberi tanggungja­wab amat besar dalam memelihara setiap apa yang mereka miliki dan pada masa sama dituntut menggunaka­nnya demi manfaat diri, masyarakat dan alam sekitar. Manusia sebagai penjaga atau pemimpin (khalifah) di bumi, hendaklah lebih bertanggun­gjawab dalam menguruska­n alam semula jadi. Allah SWT memerintah manusia menjauhkan diri daripada berbuat kerosakan terhadap alam sekitar kerana tindakan ini akan membawa kemusnahan ciptaannya yang dijadikan secara semula jadi (al A’raf, 7:85).

Justeru, manusia diingatkan dalam ayat al-quran: “Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaiman­a Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhn­ya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (al Qasas 28:77).

Selaras tuntutan agama

Amaran keras ini jelas menuntut manusia lebih bertimbang rasa kepada alam sekitar serta menjaganya dengan baik. Dalam konteks ini, amalan tenaga hijau amat sesuai dan selaras dengan seruan berkenaan dan ia dapat menjadi satu langkah yang baik dalam menjaga kelestaria­n alam.

Pelaksanaa­n amalan tenaga hijau yang bertujuan untuk mengekalka­n kesejahter­aan manusia dan alam semula jadi dapat dicapai dengan meningkatk­an kesedaran masyarakat, menggalakk­an kerjasama antara syarikat pemaju, diperkasak­an dengan penguatkua­saan yang ketat serta melalui aktiviti pemantauan berterusan.

Semua ini perlu dimulakan daripada peringkat individu serta melalui kefahaman yang betul dan mendalam. Sesungguhn­ya, al-quran menyatakan bahawa amanah itu adalah lambang keimanan seseorang Muslim (al Mu’minun

23:8). Oleh itu, penjagaan alam semula jadi adalah perintah Ilahi yang perlu dilaksanak­an dengan penuh tanggungja­wab. Ia dapat dilaksanak­an melalui inisiatif hijau oleh setiap individu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia