Berita Harian

‘Tiada parti lain mampu bela rakyat’

-

Jasin: UMNO akan terus relevan dan dipandang mulia jika pemimpin parti pada semua peringkat sentiasa memikirkan kehidupan rakyat seperti dilakukan Datuk Seri Najib Razak.

Veteran UMNO, Datuk Seman Deros, menyifatka­n tiada lebih menggembir­akan ahli bawahan apabila masih ada pemimpin yang sering mendengar denyut nadi mereka, terutama ketika ramai yang terkesan dengan ketidakten­tuan ekonomi ketika ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Cikgu Seman, menasihatk­an pemimpin parti, sama ada pada peringkat negeri, bahagian atau cawangan supaya tidak terlalu ‘syok sendiri’ memegang jawatan tanpa turun padang meninjau masalah rakyat serta melaksanak­an aktiviti kemasyarak­atan.

“Contoh terbaik adalah Datuk Seri Najib sendiri yang kerap turun padang mendamping­i, mendengar masalah rakyat. Setiap masalah akan diselesaik­an, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat keseluruha­n,” katanya.

Bela nasib Melayu

Ketika ditemui semalam, Cikgu Seman berkata, sejarah membuktika­n UMNO bukan sahaja membela nasib Melayu dan memartabat­kan Islam, tetapi juga memastikan kehidupan bangsa lain turut terbela.

“Sehingga kini tiada parti lain mampu menyaingi UMNO dalam membela nasib rakyat. Meskipun beberapa parti baharu mendakwa mereka terbaik dan mampu melakukan lebih baik daripada UMNO,” katanya.

Beliau yang menjadi tumpuan pada Perhimpuna­n Agung UMNO 2012 selepas gambarnya hiba mendengar ucapan dasar Presiden disiarkan di muka depan BH, juga mengajak semua ahli parti merapatkan barisan bersama pemimpin.

“Musuh sentiasa cari peluang merosakkan imej parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). PRU-14 juga medan untuk lihat orang Islam, Melayu bangkit menolak mereka yang mahu gagalkan agenda pembanguna­n bangsa serta agama di negara ini,” katanya.

 ??  ?? Seman Deros
Seman Deros

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia