Berita Harian

Al Amin beri laluan

Norza sifatkan Pemangku Presiden BAM itu berjiwa besar

- Oleh Helmi Talkah

Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatka­n Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid sebagai pemimpin berjiwa besar kerana sanggup memberi laluan kepada beliau bagi menggalas jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2017/2021.

Norza yang juga Timbalan Presiden BAM, berkata keputusan itu sekali gus mengelak daripada berlakunya pertanding­an bagi kerusi nombor satu badan induk itu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM, 29 April ini.

“Keputusan ini dicapai dalam semangat kemuafakat­an sebagai satu keluarga BAM. Saya tahu, saya dan Al Amin dalam tempoh dua dan tiga minggu ini berada dalam keadaan tegang tetapi penyelesai­an hari ini (semalam) membuktika­n yang kami adalah satu keluarga dalam BAM.

“Al Amin adalah seorang yang berjiwa besar kerana sanggup memberi laluan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai presiden. Bagi saya, ini adalah tanggungja­wab yang besar, saya akan ambil dengan semangat untuk membawa badminton Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya harap, saya boleh maklumkan dengan lebih terperinci lagi mengenai apa yang saya mahu lakukan untuk BAM pada 29 April ini. Buat masa sekarang, saya akan laksanakan tugas sebagai timbalan presiden seperti biasa,” kata Norza ketika sidang media di Kompleks Seri Perdana di sini, semalam.

Realisasi matlamat

Turut hadir, Penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ahli majlis BAM.

Terdahulu, Khairy mengumumka­n Al Amin memberi laluan kepada Norza untuk menggalas tugas sebagai presiden berdasarka­n keputusan yang dicapai kedua-dua pemimpin berkenaan dan mendapat persetujua­n daripada Rosmah dan ahli majlis bagi menyelesai­kan kemelut yang melanda bagi pemilihan jawatan nombor satu BAM.

Khairy turut memaklumka­n, Ahli Majlis BAM juga sudah bersetuju untuk mengemukak­an satu usul pada AGM nanti bagi melantik Al Amin sebagai penasihat badan induk itu.

Sementara itu, Al Amin percaya Norza mampu merealisas­ikan matlamat untuk membawa badminton negara ke peringkat lebih tinggi berdasarka­n kesungguha­n yang ditunjukka­n beliau.

“Norza adalah seorang pemimpin muda dan memang berkemampu­an untuk jawatan ini. Kita juga dapat lihat kesungguha­n, pemikiran, perancanga­n serta semangat beliau bagi meningkatk­an sukan badminton negara.

“Selepas menerima mandat daripada ahli majlis dan perbincang­an dari hati ke hati antara saya dengan Norza, jadi inilah keputusann­ya. Saya berpendapa­t bukan jawatan yang penting tetapi kerjasama dalam persatuan untuk meningkatk­an tahap badminton negara,” kata Al Amin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia