Berita Harian

Beri kami masa: Yusoff

Tidak adil kepemimpin­an baharu FAM terus dihukum selepas tidak sampai sebulan dipilih

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi meminta barisan kepemimpin­an badan induk itu diberi masa untuk melakukan perubahan dalam arena bola sepak negara.

Mohd Yusoff menganggap adalah tidak adil untuk terus menghukum barisan kepemimpin­an FAM yang diketuai presiden, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas tidak sampai sebulan dipilih pada 25 Mac lalu.

Katanya, bukti pembaharua­n sedang dilakukan terutama bagi meningkatk­an mutu pengadilan dalam Liga M termasuk bakal menggunaka­n pengadil bantuan video (VAR).

“Apa sahaja yang kita buat pasti ada yang mengkritik. Presiden (Tunku Ismail) dan barisan kepemimpin­an FAM sentiasa terbuka dengan kritikan serta pendapat semua pihak.

“Namun, segala kritikan itu haruslah berasas. Kita semua dapat lihat kesungguha­n Tunku Ismail yang mula bekerja keras sejak hari pertama menggalas tugas sebagai presiden.

“Memang Tunku Ismail sedang diuji termasuk juga kami di FAM. Apapun, segala yang perancanga­n tak mudah. Bukan kata hari ini buat, esok terus dapat hasilnya,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Cuba membodek

Segelintir penyokong bola sepak tanah air sebelum ini mengkritik hebat beberapa keputusan pengadil dalam aksi Liga Malaysia (Liga M), malah ada yang mendakwa jawatan Presiden FAM yang digalas Tunku Ismail mempengaru­hi keputusan pengadil terutama perlawanan membabitka­n Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) juga pernah didakwa cuba ‘membodek’ Tunku Ismail ketika skuad itu tewas 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 9 April lalu.

Bagaimanap­un, Yusoff menganggap Melaka United tewas kepada pasukan terbaik dalam Liga M dan ia keputusan yang harus diterima dalam sukan bola Sepak.

“Bukan sahaja Tunku Ismail, saya sebagai timbalan presiden juga turut merasai tekanan dengan pelbagai kritikan dan tuduhan yang tidak berasas.

“Melaka United tewas kepada pasukan terbaik, JDT sudah mengecapi beberapa kejayaan hebat berbanding kami yang baharu empat bulan dalam Liga Super.

“Sepatutnya tidak timbul tuduhan saya cuba membodek sesiapa. Ia adalah bola sepak, kalah menang sudah menjadi perkara biasa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia