Berita Harian

Usah terlalu yakin: Cheng Hoe

Pemain diminta bekerja keras aksi suku akhir kedua

- Oleh Izzali Ismail

Kemenangan besar 6-1 ke atas PKNP FC dalam saingan suku akhir pertama minggu lalu tidak harus dijadikan alasan untuk pemain Kedah terlalu yakin dapat meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala FA musim ini.

Peringatan itu dibuat ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe kerana menganggap bekalan jaringan besar yang diperoleh itu bukan jaminan, malah pemainnya tetap perlu bekerja keras ketika beraksi pada suku akhir kedua di Stadium Perak, malam ini.

“Kita tidak mahu hilang karektor sebenar dan kita perlu terus konsisten dengan rentak permainan yang kita praktikkan sejak awal musim ini.

“Ini dapat mengembali­kan semula keyakinan. Kalah sekali tidak bermakna kita akan terus lemah...tapi kita ambil cabaran seterusnya untuk melonjak kembali kekuatan yang ada dalam misi memburu kejuaraan Piala FA.

Turunkan pemain muda

“Kekuatan mental pemain sudah diuji dan saya yakin kebangkita­n kali ini akan memberi impak yang positif untuk pemain Kedah,” katanya yang mengakui agak terkejut selepas pasukannya tewas 5-0 kepada Tteam dalam aksi Liga Super, baru-baru ini.

Cheng Hoe berkata, dalam pertemuan dengan PKNP FC, malam ini ramai yang berpendapa­t Kedah akan menurunkan beberapa pemain muda yang berada dalam bangku simpanan untuk tujuan pendedahan dan pengalaman.

“Kemungkina­n itu ada. Apapun saya akan berbincang dengan pembantu terlebih dahulu. Setakat ini, Ken Ilso Larsen yang bebas daripada penggantun­gan tiada masalah untuk diturunkan pada malam esok (malam ini).

“Cuma saya terpaksa merehatkan Liridon Krasniqi kerana pemain tengah berbisa itu masih belum pulih daripada kecederaan paha,” katanya.

Beliau berkata, pemainnya akan bekerja keras pada aksi di Stadium Perak, malam ini dan memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk penyokong setia untuk menaikkan kembali semangat Hijau Kuning bagi meneruskan kemaraan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia