Berita Harian

NS enggan berputih mata, Sabah tekad buat kejutan

- Oleh Mohd Amin Jalil dan Ryan Stanley

Seremban: Pemain Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak terlalu yakin selepas memiliki kelebihan jaringan 1-0 ke atas Sabah, sebaliknya dituntut memperagak­an aksi sebenar pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sikap terlalu yakin mungkin akan memakan diri kerana pasukan lawan juga mengharapk­an kemenangan.

“Pemain tidak boleh terlalu rasa megah selepas memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan kerana jaringan 1-0 itu belum cukup untuk berasa selesa.

“Saya mahu pemain turun malam esok (malam ini) dengan komitmen tinggi dan anggap ia perlawanan adalah akhir.

“Saya doakan pasukan Negeri Sembilan menang perlawanan suku akhir kedua ini untuk membolehka­n kita bersaing ke peringkat separuh akhir Piala FA,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rumah Mesra Rakyat Plus (RMRPLUS) di Paroi, semalam.

Sabah buru kemenangan Di Kota Kinabalu,

Sabah tekad melakukan kejutan ke atas Negeri Sembilan dalam saingan suku akhir kedua Piala FA, malam ini.

Pengendali­nya, Jelius Ating berkata walaupun berdepan pendahulu Liga Perdana itu yang dijangka mendapat sokongan ribuan penyokong mereka, ia bukanlah alasan bagi skuad Sang Badak untuk menyerah kalah lebih awal.

“Di atas kertas, Negeri Sembilan memang menjadi pilihan apatah lagi selepas mereka memenangi aksi suku akhir pertama di Kota Kinabalu, tapi ia bukan semudah itu kerana kami tetap akan bermain habis-habisan untuk memburu kemenangan di Paroi.

“Memang sasaran utama kami ketika ini ialah untuk memastikan Sabah terus kekal dalam Liga Perdana musim depan, tetapi kami juga tidak mahu melepaskan peluang ini (mara ke separuh akhir Piala FA),” katanya, semalam.

Bekas pemain berusia 46 tahun itu berkata, beliau akan mengekalka­n sebahagian besar kesebelasa­n utama ketika menewaskan Kuantan FA 2-1 di Stadium Likas, minggu lalu.

“Jika ada perubahan pun, ia tidak banyak, mungkin saya akan rehatkan pemain bek kiri iaitu Jenius Karib untuk diganti dengan pemain lain kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia