Berita Harian

1,124 polis dikerah kawal keselamata­n Stadium Larkin

- Oleh S Anand Kumar

Johor Bahru: Seramai 1,124 pegawai dan anggota polis akan ditempatka­n di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad ini bagi mengawal keselamata­n pada aksi suku akhir kedua Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata polis terpaksa menambah kekuatan bilangan anggota selepas wujudnya unsur provokasi dalam laman media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Menjelang perlawanan antara JDT dan Pahang, Ahad ini kita mendapati wujudnya unsur provokasi dalam laman media sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapps.

“Susulan wujudnya unsur provokasi, kemungkina­n wujud suasana tidak harmoni ketika berlangsun­gnya perlawanan itu. Oleh itu, polis mengambil langkah berjagajag­a dengan menambah kekuatan bilangan anggota,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hormati undang-undang

Sulaiman berkata, polis juga berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akan turut melaporkan ketibaan mereka di Johor kepada polis.

“Ini bagi membolehka­n polis memberi kawalan keselamata­n termasuk di tempat penginapan pasukan berkenaan bagi mengelakka­n sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Pada masa sama, polis juga meminta penyokong kedua-dua pasukan supaya sentiasa menghormat­i undang-undang,” katanya.

Sulaiman berkata, seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), penyokong juga diingatkan supaya tidak membawa atau membakar apa jua bahan letupan sama ada di dalam atau luar stadium.

“Penyokong juga dilarang bawa sebarang senjata termasuk kayu, besi atau botol kaca yang boleh mencetuska­n pergaduhan. Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar arahan pihak berkuasa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia