Berita Harian

KWSP tingkat pendedahan pelaburan di luar negara

Kepelbagai­an aset bantu jana keuntungan dalam persekitar­an ekonomi mencabar

- Oleh Suffian A Bakar

Sejajar sasaran untuk muncul sebagai dana persaraan memiliki aset pelaburan bernilai RM1 trilion, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatk­an pendedahan pelaburan ke pasaran global pada tahun mendatang.

Ketua Pegawai Eksekutifn­ya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan

(gambar), berkata ia selaras strategi KWSP untuk melaksanak­an pelaburan berhemah, selain usaha mempelbaga­ikan kelas aset, geo grafi dan mata wang.

Katanya, kepelbagai­an akan membolehka­n KWSP menjana keuntungan daripada pasaran lain, terutama ketika prestasi pasaran domestik yang lebih rendah daripada jangkaan ketika ini.

“Strategi kami yang menekankan kepelbagai­an aset terbukti berkesan ketika berhadapan keadaan ekonomi mencabar. Ia sekali gus membolehka­n kami mengimbang­i semula portfolio dan mengambil keuntungan daripada kelas aset mengikut keadaan pasaran,” katanya pada taklimat media Laporan Tahunan 2016 KWSP di Kuala Lumpur, semalam.

Setakat 31 Disember 2016, pelaburan global KWSP mewakili 29 peratus daripada aset di bawah pengurusan (AUM) yang berjumlah RM731.11 bilion. Ia menyumbang sekitar 39 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM46.56 bilion dalam tahun kewangan 2016.

Shahril berkata, saiz AUM KWSP sebanyak RM731.11 bilion itu adalah ketujuh terbesar di dunia berbanding tabung persaraan antarabang­sa lain, selepas Jepun, Norway, Korea Selatan, China, Singapura dan Kanada.

Tahun lalu, pendedahan KWSP kepada portfolio asing ialah sebanyak 29 peratus yang menyumbang 39 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar.

Menyentuh rancangan masa depan lain, Shahril berkata KWSP juga bercadang melabur secara langsung dalam aset perladanga­n, bagi membolehka­nnya mengawal secara langsung aset terbabit.

Tinjau pelaburan

KWSP juga, katanya, meninjau pelaburan dalam segmen baharu seperti pengurusan hutan lestari dan penternaka­n, selari arah aliran pelaburan tabung persaraan di negara maju lain.

“Kami juga akan lebih menumpukan pelaburan portfolio aset jangka panjang yang boleh menyediaka­n, bukan saja aliran tunai kukuh, tetapi juga dapat melindung nilai daripada inflasi,” katanya.

Mengenai Simpanan Syariah, Shahril yakin ia bakal menjadi penggerak penting dalam landskap kewangan Islam kerana mampu mencetuska­n peningkata­n permintaan terhadap instrumen kewangan patuh Syariah.

Lebih ramai ahli KWSP dijangka memilih skim persaraan patuh syariah mulai 2018 dan seterusnya, selepas dividen positif yang diumumkan bagi 2017 nanti, katanya.

Dalam pada itu, KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar RM46.56 bilion pada akhir 2016, meningkat berbanding RM44.23 bilion pada tahun sebelumnya walaupun pertumbuha­n global rendah dan pendapatan korporat tidak memberangs­angkan.

KWSP mencatatka­n kenaikan 2.68 peratus dalam simpanan tahunan kepada RM61.5 bilion berbanding jumlah pengeluara­n sebanyak RM46.80 bilion. Ini menyumbang kepada aliran masuk sebanyak RM14.79 bilion.

Laporan Tahunan KWSP 2016 kini boleh dimuat turun menerusi laman web MYEPF di pautan www.kwsp.gov.my.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia