Berita Harian

Untung suku pertama Public Bank RM1.63 bilion

-

Kumpulan Public Bank mencatatka­n keuntungan sebelum cukai RM1.63 bilion bagi suku pertama 2017, disokong perolehan kasar stabil sebanyak RM5.03 bilion yang diraihnya pada suku dikaji.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017 itu, keuntungan bersih milik pemegang saham meningkat 1.5 peratus kepada RM1.25 bilion, daripada RM1.23 bilion pada suku tahun 2015.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan berada pada kedudukan positif tahun ini, apabila terus memperoleh keuntungan stabil walaupun berhadapan pelbagai rintangan dalam persekitar­an perbankan.

Katanya, keuntungan kumpulan terus dipacu oleh perniagaan perbankan runcit yang juga perniagaan terasnya disokong pertumbuha­n kukuh dalam pinjaman dan deposit pada suku dikaji, serta kualiti aset kukuh yang mapan.

“Kumpulan Public Bank terus mengekalka­n penunjuk prestasi kewangan memuaskan seperti ditunjukka­n dalam pulangan ekuiti bersih 14.9 peratus, nisbah pinjaman penguranga­n nilai kasar 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap 34.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku pertama 2017, jumlah pinjaman kasar Public Bank meningkat pada kadar tahunan 3.6 peratus, dengan pinjaman domestik berkembang lebih cepat pada kadar tahunan 4.7 peratus.

Portfolio pinjaman kumpulan yang tertumpu kepada pembiayaan hartanah kediaman dan pemberian pinjaman komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terus menguasai bahagian pasaran utama dalam pasaran pemberian pinjaman domestik.

Dari segi perniagaan pengambila­n deposit, Public Bank mencatatka­n pertumbuha­n tahunan 8.1 peratus dalam jumlah deposit pelanggan bagi suku pertama 2017, diperkukuh­kan oleh asas yang stabil bagi kedudukan pendanaan kumpulan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia