Berita Harian

Masjid Terapung Tanjung Bungah benteng tsunami

-

Tanjung Bungah antara lokasi tumpuan pelancong asing dan tempatan kerana terdapat banyak restoran makanan laut, selain pantainya yang indah. Antara satu tarikan pelancong di kawasan itu adalah Masjid Terapung Tanjung Bungah yang terletak 100 meter dari kawasan pantai.

Menariknya masjid yang dibuka kepada orang ramai sejak tahun 2007 itu seakan-akan berada di kawasan pantai ketika air surut dan apabila air pasang masjid itu seolah-olah terapung.

Timbalan Pengerusi Masjid Terapung Tanjung Bungah, Badrul Jamal Mohd Ariffin, berkata idea pembinaan masjid di atas permukaan air tercetus kerana keluasan tanah di kawasan itu terhad bagi tujuan memperbesa­rkan masjid lama pada awal tahun 2000.

Ketika itu, masjid lama Tanjung Bungah sudah tidak mampu menampung jumlah jemaah yang meningkat setiap tahun dan pihak pengurusan berhadapan masalah menaik taraf bangunan utama masjid yang terletak berdekatan laut.

“Akhirnya, selepas memberikan beberapa cadangan, kerajaan negeri bersetuju membina masjid baharu di sebelah masjid lama yang dapat menjimatka­n penggunaan tanah dan lokasi masjid ini juga tidak perlu dipindahka­n,” katanya ketika ditemui Ibrah, baru-baru ini.

Pembinaan Masjid Terapung Tanjung Bungah yang membabitka­n kos kira-kira RM15 juta itu bermula pada 1 Oktober 2003 dan siap sepenuhnya pada Januari 2005, iaitu dua bulan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Pengaruh Turki

Menurut Badrul, masjid berkenaan begitu istimewa kepada penduduk di kawasan sekitarnya kerana ketika tragedi tsunami melanda utara semenanjun­g pada 26 Disember 2004, masjid yang dalam pembinaan dan sudah 80 peratus siap itu menjadi benteng penahan ombak.

Walaupun kebanyakan rumah di sekitar masjid ranap akibat tragedi itu, namun ada kawasan yang terselamat daripada kemusnahan teruk dengan adanya masjid menjadi penghadang ombak yang mengganas ketika itu.

“Masjid Terapung Tanjung Bungah boleh memuatkan 1,500 jemaah. Masjid ini memberi kemudahan kepada jemaah di kawasan berhampira­n termasuk yang tinggal di kawasan penempatan semula mangsa tsunami yang terletak di sebelah masjid,” katanya.

Reka bentuk bangunan masjid menggabung­kan seni bina tempatan dan pengaruh Turki. Kubah berbentuk aerodinami­k sesuai dengan persekitar­an lautan selain menara azan setinggi tujuh tingkat dihiasi ukiran kayu jati serta seni khat kaligrafi Indonesia turut menjadi mercu tanda masjid.

Lantai mozek dan seramik berwarna-warni memberikan pencahayaa­n lebih menarik kepada masjid dua tingkat itu yang dicantikka­n lagi dengan pagar tembok bercorak bunga matahari di sekeliling serta pintu hadapan masjid.

 ??  ??
 ?? [ FOTO ZULAIKHA ZAINUZMAN /BH ] ??
[ FOTO ZULAIKHA ZAINUZMAN /BH ]
 ??  ??
 ??  ?? Keunikan masjid yang dihiasi ukiran seni khat kaligrafi Indonesia.
Keunikan masjid yang dihiasi ukiran seni khat kaligrafi Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia