Berita Harian

Pilih calon tempatan, minta tunjuk ajar veteran

UMNO kena pastikan wakil tepati kehendak rakyat demi kelangsung­an parti

- Oleh S Anand Kumar anand@bh.com.my

Seorang pemimpin veteran UMNO memberi dua nasihat penting bagi memastikan kelangsung­an parti terus kekal dalam perjuangan politik tanah air.

Nasihat berkenaan ialah calon pilihan raya perlu dalam kalangan orang tempatan dan pemimpin parti pula tanpa mengira pangkat wajar meminta tunjuk ajar daripada pemimpin veteran.

Perkara itu dicadangka­n oleh Datuk Yusof Malim Kuning atau lebih dikenali Yellow Pilot.

“UMNO perlu memastikan calon yang mewakili parti pada pilihan raya umum akan datang benarbenar dalam kalangan orang tempatan dan bukannya calon luar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Ampat, Bandar Tenggara di sini, semalam.

Bekas Ahli Parlimen itu berkata UMNO tidak seharusnya memandang remeh perkara itu kerana rakyat mahukan seorang pemimpin setempat yang benar-benar di hati mereka, selain mudah berurusan ketika di saat memerlukan.

“Mudah kata, calon itu perlu benar-benar merasai denyut nadi mereka dan perlu tahu keperluan rakyat. Jangan sekadar pilih calon untuk mengisi tiket parti, sebaliknya calon itu bukan orang tempatan.

“Jangan biarkan rakyat derita ketika saat mereka mahu berjumpa wakil rakyat, sedangkan rumah wakil rakyat itu sendiri di luar kawasan. Bagaimana rakyat mahu kepada pemimpin seperti ini.

“Berbeza ketika zaman saya apabila rumah wakil rakyat menjadi pejabat dan orang ramai berkunjung tanpa mengira waktu dan hari.

“Rakyat lebih gembira apabila tahu wakil rakyat mereka mesra pengundi dan senang berbicara,” katanya.

Rakyat tunggu siapa calon

Yusof yang menyertai UMNO ketika berusia 19 tahun, berkata rakyat kini lebih peka mengenai politik semasa.

Justeru, katanya, kepemimpin­an parti tidak seharusnya memandang enteng perkara soal pemilihan calon.

“Rakyat memang tunggu siapa calon pilihan parti kerana sejarah perjuangan UMNO tidak boleh dipadam begitu sahaja tetapi perlu diingat bahawa soal calon juga tidak boleh diketepika­n begitu saja walaupun UMNO banyak berjasa kepada agama, bangsa dan nega- ra,” katanya.

Bekas guru Maahad Johor lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-azhar, Mesir itu, berkata pemimpin UMNO tanpa mengira pangkat juga tidak seharusnya segan untuk meminta tunjuk ajar daripada pemimpin veteran.

“Bukan nak kata pemimpin veteran semua hebat tetapi kami berpengala­man luas dalam soal politik dan boleh berkongsi bersama pemimpin masa sekarang.

“Apa salahnya datang berjumpa pemimpin veteran dan kami boleh jadi ‘guru’ serta pembimbing mereka, boleh dapat pelbagai petua serta tunjuk ajar,” katanya.

Yusof berkata, kedua-dua nasihat itu diyakini dapat membantu parti dan kepemimpin­an UMNO, selain menjadi strategi penting untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] ?? Yusuf ketika ditemui wartawan BH di Kampung Batu Ampat, Tenggara, Kota Tinggi, semalam.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] Yusuf ketika ditemui wartawan BH di Kampung Batu Ampat, Tenggara, Kota Tinggi, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia