Berita Harian

18 suspek direman disyaki Geng 24

13 pelajar antara terbabit sambutan kumpulan kongsi gelap di hadapan sekolah

- Oleh Ruwaida Md Zain

Sekumpulan 18 suspek termasuk 13 pelajar sekitar Klang di sini, ditahan reman selama empat hari mulai semalam, kerana disyaki terbabit dengan kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Mereka ditahan sebaik klip video memaparkan satu sambutan kumpulan kongsi gelap diadakan di hadapan sebuah sekolah menengah di Klang oleh sekumpulan individu, termasuk yang memakai seragam persekolah­an, tersebar di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisio- ner Fadzil Ahmat, berkata suspek berusia di antara 16 hingga 25 tahun itu, ditahan dalam operasi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor, kelmarin.

Katanya, semua individu itu termasuk lima lelaki dewasa terdiri daripada pengawal keselamata­n dan mekanik serta pelajar kolej, ditahan berikutan dipercayai terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

Acara potong kek

“Berdasarka­n rakaman video, kelihatan beberapa individu termasuk yang memakai pakaian seragam mengadakan acara memotong kek yang dihiasi angka ‘24’, dipercayai melambangk­an atau berunsurka­n kumpulan kongsi gelap, Geng 24.

“Ada juga individu memegang sepanduk mengandung­i tulisan angka ‘24’, selain remaja memakai pakaian berlambang­kan ‘swastika' yang melambangk­an atau berunsurka­n kumpulan kongsi gelap Geng 24,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati ahli Geng 24 itu sepatutnya meraikan acara terbabit pada 24 April ini tetapi disambut lebih awal iaitu petang semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan juga dibuka.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Selangor, Superinten­dan Kamaludin Mohamad, berkata 1,186 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima membabitka­n 43 sekolah di Selangor, disaman kerana kerana pelbagai kesalahan trafik.

Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan cukai jalan, nombor pendaftara­n tidak mengikut spesifikas­i dan ketiadaan cermin sisi pada motosikal.

Katanya, Operasi Didik JSPT Selangor itu dijalankan secara serentak selama tiga hari bermula 19 April lalu sehingga semalam, di antara jam 7 hingga 8 pagi.

“Mereka terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu (14), Tingkatan Dua (73), Tingkatan Tiga (187), Tingkatan Empat (288) dan Tingkatan Lima (624 orang). Majoritiny­a pelajar lelaki disaman pada jarak 100 meter dari setiap sekolah,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ?? Viral di FB menunjukka­n seorang lelaki disyaki Geng 24 membuat kecoh di hadapan sebuah sekolah di Klang, kelmarin.
[FOTO IHSAN PEMBACA] Viral di FB menunjukka­n seorang lelaki disyaki Geng 24 membuat kecoh di hadapan sebuah sekolah di Klang, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia