Berita Harian

‘Ada pasukan belum beri pelepasan kepada pemain’

- Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahka­n masih ada beberapa persatuan negeri dan kelab belum memberi kata putus untuk melepaskan pemain mereka menyertai latihan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara.

Beliau berkata, latihan itu bagi menghadapi Kelayakan B-23 Piala AFC, Julai ini di Bangkok dan temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur 2017, Ogos ini

Tunku Ismail yang mempengeru­sikan mesyuarat bersama ahli gabungan FAM di sini, semalam berkata, persatuan dan kelab terbabit tidak mahu melepaskan pemain mereka atas sebab serta alasan tersendiri.

“Namun bagi saya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 cukup unik kerana kita menjadi tuan rumah. Takkan kita nak lihat skuad B22 berada di tempat tercorot atau terkeluar daripada saingan.

Latihan dalam negara

“Jadi saya harap semua pasukan dapat memberi sumbangan dengan melepaskan pemain yang terpilih untuk menjalani latihan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama ahli gabungan FAM di Hotel Thistle di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, latihan skuad B22 yang pada awalnya dirancang oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee di Australia mungkin diubah ke China atau hanya berlatih di dalam negara.

Katanya, semua perancanga­n itu bergantung kepada faktor kewangan dan beliau tidak mahu membazirka­n wang FAM.

Sementara itu, Kim Swee akan memanggil antara 25 hingga 30 pemain bagi persiapan menghadapi kejohanan itu.

Kim Swee berkata, latihan pusat akan diadakan pada hujung Mei ini dan ia penting bagi membuat persiapan menghadapi dua kejohanan itu yang dianggap besar.

“Seperti kita ketahui, jadual untuk saya mengadakan latihan buat pertama kali selepas saya mengambil alih akan berlaku pada bulan puasa ini.

“Kita juga perlu lihat kemampuan pihak pengurusan dan jika kita tidak dapat menjalani latihan di luar negara, di dalam negara sudah mencukupi. Ia bukan isu besar untuk persiapan skuad B-22 negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia