Berita Harian

Kedah tetap ke separuh akhir

Helang Merah mara menerusi agregat 6-2 walaupun tewas 0-1 kepada PKNP FC

- Oleh Azizan Hashim

Kedah mengesahka­n tempat ke separuh akhir Piala FA menerusi kelebihan agregat 6-2 walaupun tewas 0-1 kepada PKNP FC pada suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

PKNP yang dibelasah Kedah 6-1 pada aksi pertama, 1 April lalu turun dengan misi sukar untuk menamatkan kelebihan lima gol yang dimiliki Helang Merah.

Skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu cuba menghidupk­an sisa perjuangan mereka apabila membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-10.

Kedah cuba bangkit dengan beberapa percubaan termasuk rembatan leret Sandro Da Silva pada minit ke-25 yang berjaya ditepis penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar.

Bertindak cemerlang

Ahmad Asyraaf terus bertindak cemerlang mengawal gawang PKNP apabila sekali lagi menyelamat­kan sepakan percuma menarik daripada Sandro pada minit ke-55.

Sebelas minit kemudian, giliran Farhan Roslan pula berpeluang meledak gol pertama Kedah, namun percubaann­ya juga dinafikan Ahmad Asyraaf.

Kedudukan 1-0 memihak PKNP kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksika­n mereka menjadi pasukan kedua menewaskan Kedah musim ini selepas T-team yang menjinakka­n juara Piala Malaysia itu 5-0 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Biarpun tersingkir, kejayaan PKNP mara buat kali pertama ke suku akhir Piala FA sudah menjadi sejarah baharu buat kelab berkenaan.

 ?? [FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] ?? Pemain Kedah, Farhan Roslan (kanan) mengasak pemain PKNP FC, Mohamad Ezanie Mat Salleh pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, malam tadi.
[FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] Pemain Kedah, Farhan Roslan (kanan) mengasak pemain PKNP FC, Mohamad Ezanie Mat Salleh pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia