Berita Harian

Adam Rosly didakwa kemuka keterangan, dokumen palsu

Ketua AMK Ampang mengaku tak salah atas enam pertuduhan

- Oleh Farah Marshita Abdul Patah farahmarsh­ita@bh.com.my

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas enam tuduhan mengemukak­an pernyataan dan dokumen palsu, Februari lalu.

Adam Rosly, 30, yang berbaju biru dan seluar hitam memohon dibicaraka­n sebaik pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, kirakira jam 10.30 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapan­nya dirakam dua pegawai penyiasat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cuba perdaya pegawai SPRM

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada along RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya, antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Februari lalu dan antara jam 9 pagi hingga 2 petang, pada 22 Februari lalu.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunaka­n dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujua­n pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatny­a, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Hakim benarkan ikat jamin

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, menawarkan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanap­un, Adam Rosly dalam rayuannya, menerusi peguam Ahmad Zaidi Zainal, memohon jaminan RM150,000 dengan alasan tidak membabitka­n kesalahan serius.

Hakim membenarka­n tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Keluarga Adam Rosly membayar jaminan itu kira-kira jam 3 petang.

 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] ?? Adam (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] Adam (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia