Pemain makin serasi formasi baharu Wenger
London: Laurent Koscielny yakin rombakan di bahagian pertahanan Arsenal mampu memacu barisan kendalian Arsene Wenger berada dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.
The Gunners dijadual berdepan juara bertahan, Leicester City di Stadium Emirates awal pagi esok dengan membawa tonik kemenangan di separuh akhir Piala FA menewaskan Manchester City, Rabu lalu. Arsenal dijadual bertemu Chelsea di pentas final di Wembley.
Kejayaan di peringkat separuh akhir pada Ahad lalu itu adalah kemenangan susulan Arsenal selepas menewaskan Middlesbrough pada minggu sebelumnya - ketika itu Wenger bertindak balas menukar tiga pemain di bahagian belakang.
Kini, selepas mencatat kemenangan berturut-turut bersama pendekatan baharu, Wenger dilihat akan mengekalkan formasi itu ketika menerima kunjungan skuad Craig Shakespeare.
Benteng makin kukuh
Tiga kemenangan berturut-turut bakal membantu Arsenal merapatkan jurang dengan penghuni tangga keempat, City dengan empat mata - posisi yang menawarkan slot ke Liga Juara-juara dan tiga mata di belakang penghuni tangga kelima, Manchester United.
Bek tengah, Koscielny tidak pernah ragu dengan keputusan Wenger mengubah nasib kelab.
“Terdapat pertukaran taktikal tetapi kami sudah berusaha dengannya sejak 15 hari lalu,” kata pemain Perancis itu.
“Dalam sistem itu, ada pemain yang bagus. Bagus secara kolektif. Saya fikir, kami juga sudah menemui keyakinan mengenai sistem ini yang membabitkan tiga pertahanan. Kami lebih kukuh di bahagian belakang.”
Hilang kapten
Sementara itu, Leicester sah tidak akan menurunkan kaptennya, Wes Morgan yang mengalami kecederaan hamstring dan penyerang, Islam Slimani (pangkal paha) di Emirates.
“Malangnya, Wes tidak boleh pulih,” kata Shakespeare. “Hamstringnya koyak. Ia masih tidak teruk tetapi kami perlu berhati-hati.
“Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, dia akan diketepikan dan kemudian akan lihat untuk perlawanan di West Brom, Sabtu ini,” kata Shakespeare.