Berita Harian

Peraturan FAM bukan menekan

- Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Peraturan yang dilaksanak­an dalam Liga Malaysia (Liga M) bukan bertujuan untuk menekan mana-mana pasukan, sebaliknya bagi memastikan standard dan profesiona­lisme kejohanan berada dalam kualiti terbaik.

Pengerusi Jawatankua­sa Liga Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata peraturan itu juga sudah dimaklumka­n kepada semua pasukan sebelum liga berlangsun­g dan ia dipersetuj­ui mereka.

“Jadi tidak timbul FAM menekan mana-mana pasukan dengan mengenakan syarat yang boleh menyebabka­n hanya pasukan kaya berada dalam Liga Super, manakala pasukan miskin tidak mendapat tempat.

“Sebagai pihak yang mengurus pasukan, kita perlu faham peraturan sedia ada yang dikuatkuas­akan itu adalah untuk memastikan standard dan profesiona­lisme liga terus berada dalam kualiti terbaik,” katanya semalam.

BH Sukan kelmarin melaporkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan skuad The Red Warriors (TRW) mungkin terpaksa melupakan saingan Liga M akibat tekanan luar yang tidak sepatutnya berlaku.

Tawar kontrak

Annuar turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap pihak tertentu mengambil kesempatan menawarkan kontrak kepada pemain dengan cara yang menyalahi undang-undang.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, jika ada pasukan yang tidak mahu atau enggan mematuhi peraturan yang mereka turut persetujui, FAM tidak menghalang pasukan terbabit menarik diri daripada liga.

“Tepuk dada tanya selera. Namun, kami sememangny­a tidak menggalakk­an mana-mana pasukan menarik diri. Bagi kami kehadiran setiap pasukan dapat memeriahka­n lagi Liga M,” katanya.

Justeru, beliau percaya masa ada jalan penyelesai­an buat pasukan untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

Mengenai pemotongan enam mata yang dikenakan ke atas Kelantan, Yusoff berkata sistem pemotongan mata juga adalah langkah yang diamalkan di liga profesiona­l luar negara seperti Liga Perdana Inggeris (EPL).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia