Berita Harian

Azmin tak bincang isu letak jawatan EXCO PAS

-

Shah Alam: Isu peletakan jawatan tiga EXCO Kerajaan Selangor daripada PAS, langsung tidak dibincangk­an dalam pertemuan mereka dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembanguna­n Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, mengakui terkejut dengan laporan sebuah akhbar mendakwa Mohamed Azmin mengarahka­n mereka meletak jawatan.

“Mesej beliau (Mohamed Azmin) yang terkini, beliau kata akan letak EXCO PAS dalam Kabinetnya. Saya ambil yang terkini lah.

“Itu sebabnya saya pun terkejut (dakwaan) yang keluar dalam akhbar tu. Siapa yang mencipta cerita ini?” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ahmad Yunus berkata, dalam pertemuan dengan Mohamed Azmin yang turut disertai Pesuruhjay­a PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, pagi kelmarin, Timbalan Presiden PKR itu bertanyaka­n pandangan mereka, selain membincang­kan keputusan Majlis Syura Ulama Rabu lalu.

Katanya, beliau dan rakan EXCO akan mengambil kira semua pandangan termasuk keputusan PAS Pusat, sama ada untuk terus berkhidmat atau sebaliknya.

Sallehen ketika dihubungi, juga senada dengan Ahmad Yunus, bahawa dakwaan Mohamed Azmin mahukan EXCO PAS Selangor melepaskan jawatan masing-masing tidak dibincangk­an dalam pertemuan mereka.

“Saya tidak pasti dengan maklumat ini kerana tidak mendengarn­ya daripada Mohamed Azmin sendiri,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Mat Shuhaimi Shafiei, ketika ditanya mengenai laporan berita terbabit, berkata ia tidak benar.

“Kenyataan kita sama seperti semalam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia