Berita Harian

Saya akan lepas jawatan: Subahan

Presiden MHC buat janji jika Malaysia gagal layak automatik ke Piala Dunia 2018

- Oleh Naqib Nor Said

“Memang saya akan lepas jawatan.” Begitulah janji Presiden Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang sedia melepaskan jawatan seandainya skuad hoki negara gagal dalam misi melayakkan diri secara automatik ke Piala Dunia 2018 menerusi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, bulan depan.

Menurutnya, walaupun banyak kritikan dilemparka­n ke atas skuad kendalian Stephen Van Huizen susulan prestasi kurang memberangs­angkan di Piala Sultan Azlan Shah, awal bulan ini namun beliau tetap percaya dengan kemampuan Malaysia Tigers.

“Memang pasti saya akan melepaskan jawatan... sebab ia sebahagian daripada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) saya untuk membawa Malaysia layak ke Piala Dunia.

“Kalau masih lagi terkapai-kapai untuk layak ke Piala Dunia, tiada lagi alasan untuk saya kekal selepas sudah banyak dibelanjak­an duit penajaan untuk pasukan.

Kumpulan maut

“Apapun, saya tetap yakin kami akan layak sebab itu saya berani pertaruhka­n jawatan saya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MHC Ke-64 di sini, semalam.

Selepas menutup kempen Piala Sultan Azlan Shah di kedudukan kelima, awal bulan ini, pemain negara kembali menjalani latihan seperti biasa, Rabu lalu.

Malaysia dijadualka­n berlepas ke London, 7 Jun ini dan diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan ranking pertama dunia, Argentina, diikuti England, China dan Korea Selatan.

Subahan dalam nada penuh yakin juga mengakui beliau tidak gementar dengan langkah beraninya mempertaru­hkan jawatannya itu kerana percaya skuad hoki lelaki mampu layak ke Piala Dunia 2018.

“Sebelum ini memang saya seringkali katakan anda skuad lelaki negara tak layak beraksi di Sukan Olimpik, saya akan letak jawatan.

“Tapi andai Piala Dunia pun tidak layak, apa lagi cabaran lebih besar di Sukan Olimpik,” katanya.

 ?? [FOTO OSMAN ADNAN/BH] ??
[FOTO OSMAN ADNAN/BH]
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia