Berita Harian

Bangkitkan semangat Harimau Malaya

-

Masih jelas dalam ingatan bagaimana lesu dan longlai prestasi Harimau Malaya akibat bedilan bertalu-talu lawan mereka yang jauh lebih perkasa pada pertanding­an Piala Asia 2007.

Pasukan Malaysia dimalukan dengan catatan rekod terburuk di kalangan empat negara tuan rumah bersama pusingan akhir pertanding­an tersebut.

Malaysia gagal mengutip sebarang mata dengan hanya mampu menjaringk­an satu gol dan bolos sebanyak 12 kali dalam tiga perlawanan, mimpi ngeri tersebut menyaksika­n perlawanan skuad kebangsaan di laman sendiri diboikot selama beberapa bulan.

Impaknya turut dirasai dalam Liga Malaysia bila mana jumlah kehadiran penonton turun mendadak. Kemeriahan sukan nombor satu negara seakan hilang serinya dan suram.

Akhirnya pasukan kebangsaan ‘dibekukan’ oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pasukan bawah 23 tahun negara diberi tanggung jawab memikul beban sebagai pasukan utama.

Rentetan daripada keaiban di Piala Asia itu, FAM bukan sahaja membubarka­n skuad senior tapi skuad kebangsaan yang dibarisi pemain muda berbakat besar turut diturunkan pangkat untuk bermain di stadium yang lebih kecil iaitu Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Masa depan bola sepak Malaysia seakan menuju ke era kegelapan namun tampil sekumpulan anak muda membawa satu kelainan dalam budaya menyokong dalam stadium yang hampir kosong di Kelana Jaya.

Daripada beberapa siri perlawanan persahabat­an sehingga ke final Pesta Bola Merdeka 2007, mereka tidak pernah gagal hadir ke stadium untuk membingitk­an suasana stadium dari sunyi sepi kembali gegak gempita.

Jadi bintang

Skuad Harimau Muda yang dibentuk untuk Sukan SEA 2009 disuntik satu semangat yang tidak pernah mereka alami dengan kehadiran kumpulan penyokong ini yang mula menarik perhatian pemain muda negara yang bakal menjadi bintang di Asia Tenggara.

Kemunculan kumpulan ini pada mulanya tidak disenangi oleh penonton lain atas alasan bising. Di sebalik maki dan hamun mereka meneruskan usaha walaupun kadangkala mereka pernah dibaling dengan botol plastik.

Mereka juga diugut agar memberhent­ikan gelagat yang diibaratka­n kera kena belacan. Namun semangat mereka tidak pernah luntur malahan diteruskan seiring dengan kebangkita­n pasukan kebangsaan.

Kelibat pemain seperti Safee Sali, Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Khyril Muhymin, S Kunanlan, Amirul Hadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha serta beberapa nama lain pasti tidak akan lupa impak yang diberikan kepada mereka oleh kumpulan penyokong ini.

Tidak keterlalua­n jika dikatakan mereka menjadi bintang Asia Tenggara kerana kumpulan kecil ini. Kemuncakny­a, Stadium Nasional menyaksika­n munculnya pasukan sorak yang diberi nama Ultras Malaya (UM) yang dilahirkan melalui sebuah laman web penyokong bola sepak Malaysia Harimaumal­ayadotcom.

Budaya ini kemudian menular ke setiap negeri dengan pembentuka­n kumpulan kecil ultras. UM yang terus menjadi trending seterusnya ditukar menjadi UM07 pada 2008.

UM07 mengorak langkah bersama Harimau Muda menjadi satu fenomena. Kemuncak kepada gabungan UM07 dan HM dirai bersama selepas Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA di Vietnam pada 2009 dan disusuli dengan kejayaan manis menjadi juara Piala AFF di Indonesia pada tahun berikutnya.

Perjuangan belum selesai

Akhirnya, perlawanan separuh akhir Piala AFF 2014 menentang Vietnam, mencatat sejarah UM07 apabila berjaya menghimpun hampir 20,000 anggota yang datang dari setiap negeri di Stadium Shah Alam.

Chanting mereka amat merangsang semangat bukan sahaja pemain tapi penyokong yang hadir. Mereka turut terbang ke Hanoi dalam perlawanan timbal balik dan adalah salah satu sebab Malaysia berjaya bangkit menewaskan Vietnam 42 dan layak ke perlawanan akhir.

Walaupun skuad negara gagal menewaskan Thailand namun UM07 diangkat sebagai kumpulan penyokong terbaik Asia Tenggara dan lahir pula kumpulan ultras di Vietnam, Singapura dan Thailand.

Namun, selepas 10 tahun menempa kejayaan gemilang tanpa anugerah, semangat Ultras dikalangan penyokong semakin kendur angkara rentetan kekalahan yang memalukan skuad negara di perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.

Rekod kekalahan besar Malaysia oleh skuad UAE yang memalukan Harimau Malaya dengan keputusan 100. Istilah Brotherhoo­d semakin dilupakan.

Kuasa dan populariti pula semakin menjadi api dalam sekam. Semakin ramai lupa tujuan sebenar UM ditubuhkan. Gah pada nama, ego semakin mencanak. Pelopor UM ramai yang dah ‘pencen’, yang tinggal sekarang adalah generasi baru yang amat rebel.

Persoalann­ya, mampukah semangat UM diteruskan melalui penjenamaa­n semula UM07? Mampukah UM07 terus mewarnai bola sepak negara dengan gelaran Pemain ke12?

Pelbagai bentuk tentangan telah dilakukan demi menentang FAM. Kini FAM sudah dirombak dan berwajah baharu. Adakah UM07 akan terus memegang watak Hang Jebat atau bakal membuat penampilan semula dengan kuasa menyokong yang lebih hebat dari sebelum ini?

Pasti otai UM amat mengharapk­an inisiatif mereka yang dimulakan dalam stadium yang hampir kosong di Kelana Jaya tidak dimalapkan oleh generasi baharu ini.

Perjuangan belum selesai. Kembalilah ke asas penubuhan UM untuk menganjak Malaysia ke pentas Piala Dunia satu hari nanti. Satukan jiwamu, selamanya Harimau Malaya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia