Berita Harian

2 Ketua Polis Daerah direman kes kutip wang tauke judi

Empat pegawai turut ditahan bersama 3 lagi suspek

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Nurul Fhatihah Zakinan bhnews@bh.com.my Putrajaya

Dua Ketua Polis Daerah (KPD) bersama empat pegawai polis, adalah di antara sembilan suspek ditahan reman enam hari mulai semalam, untuk siasatan kes rasuah mengutip wang perlindung­an daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut di Melaka.

Perintah reman dikeluarka­n Majistret Putrajaya, Muhamad Safuan Azhar, selepas membenarka­n permohonan dikemukaka­n Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap semua suspek berusia 31 hingga 54 tahun itu.

Mereka yang direman mulai semalam sehingga 22 Mei itu terdiri daripada dua KPD masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superinten­dan.

Serbuan di beberapa lokasi

Yang turut direman dua Asisten Superinten­dan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama dua Inspektor dari IPD Melaka Tengah dan Jasin, serta tiga orang awam termasuk seorang peniaga dan pengusaha pusat judi.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, mengesahka­n semua suspek ditahan hasil serbuan terhadap beberapa lokasi sekitar Melaka, sejak kelmarin hingga pagi semalam.

Katanya, mereka kini berdepan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(b) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu sumber SPRM berkata, susulan penahanan sembilan individu terbabit, suruhanjay­a itu menyita wang tunai berjumlah RM186,000 dan akaun dengan simpanan berjumlah lebih RM459,000.

“Wang tunai yang dipercayai hasil kutipan dan sogokan tauke judi haram itu ditemui di rumah beberapa suspek.

Paksa pengusaha bayar

“Kumpulan pegawai polis terbabit dipercayai meminta rasuah daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut sekitar Melaka, malah turut memaksa pengusaha membayar wang perlindung­an kepada mereka,” katanya.

Difahamkan, suspek orang awam bertindak sebagai orang tengah bagi melicinkan proses pengutipan rasuah yang dibayar sebagai wang perlindung­an, untuk melindungi kegiatan haram dilakukan pengusaha terbabit.

SPRM menemui wang tunai berjumlah RM186,000 dan wang dalam akaun berjumlah lebih RM459,000 milik kesemua suspek. Wang tunai itu ditemui di rumah beberapa suspek dan dipercayai daripada tauke judi haram”

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] ?? Pegawai SPRM mengiringi dua Ketua Polis Daerah dan pegawai polis IPK Melaka di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR/BH] Pegawai SPRM mengiringi dua Ketua Polis Daerah dan pegawai polis IPK Melaka di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia