Berita Harian

BN diramal berdepan tentangan 3 parti

Tarikh penamaan calon, hari pengundian dijangka dalam bulan puasa

- Oleh Mohd Roji Kawi dan Kandau Sidi

Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut di sini dijangka menyaksika­n pertembung­an empat penjuru, termasuk Barisan Nasional (BN) yang bertekad merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Selain BN yang bakal berdepan tentangan sengit DAP, turut menyatakan hasrat bertanding ialah PAS dan Parti Reformasi Sarawak (STAR) sebagai ‘medan ujian’ sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, semua parti itu dikatakan sudah membuat persiapan menghadapi PRK Pujut yang dijangka diadakan dalam bulan puasa, dengan jentera parti sudah mula digerakkan pada peringkat akar umbi.

Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) bermesyuar­at di Putrajaya esok untuk menentukan tarikh PRK Pujut.

Antara nama calon BN yang disebut-sebut ialah ahli Majlis Bandaraya Miri, Bruce Chai Khim Cheong dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Lawrence Lai. DAP pula dijangka mempertaru­hkan bekas wakil rakyat Piasau, Alan Ling Sie Kiong. Calon langsung BN yang tewas bagi kerusi DUN Pujut sebelum ini, Datuk Hii King Chiong, 60, mengesahka­n tidak akan menawarkan diri untuk bertanding dalam PRK Pujut.

Di Kuching, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyatakan hasrat untuk meletakkan calonnya bertanding mewakili BN kerana menganggap ia kerusi tradisi parti itu.

SUPP berhak bertanding

Presidenny­a, Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata SUPP berhak bertanding di kawasan berkenaan kerana pada Pilihan Raya Negeri Ke11 (PRN-11) tahun lalu, King Chiong bertanding sebagai calon langsung BN, bukan sebagai calon Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Kerusi itu (Pujut) tidak pernah dimiliki oleh UPP. Jadi, sesiapa yang ingin bertanding di Pujut pada PRK nanti, mesti datang dari parti komponen BN,” katanya kepada media di Kompleks DUN Sarawak, semalam.

UPP adalah parti serpihan SUPP yang ‘mesra BN’ diketuai Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Edagang negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang membawa usul hingga terpecatny­a wakil rakyat DAP Pujut, Dr Ting Tiong Choon kerana memiliki kewarganeg­araan Australia dan mendaftar sebagai pengundi di negara itu.

Sementara itu, Soon Koh, berkata hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berhak menentukan calon BN bagi menghadapi PRK Pujut.

Katanya, UPP menyerahka­n sepenuhnya kepada pucuk kepemimpin­an BN Pusat serta BN untuk menentukan­nya walaupun calon mereka ditampilka­n dalam PRN-11 tahun lalu atas tiket calon langsung BN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia