Berita Harian

PPBM mahu ketuai jentera Pakatan Harapan di Kedah

Parti yakin hasrat dapat persetujua­n sekutu hadapi PRU-14

- Oleh Adha Ghazali

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mula membayangk­an peranan yang lebih besar di Kedah dengan menyatakan hasratnya untuk menerajui Pakatan Harapan di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Perkara itu dinyatakan Presidenny­a, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut menyuaraka­n keyakinan bahawa mandat besar kepada PPBM di Kedah itu bakal dipersetuj­ui rakan pembangkan­g lain membabitka­n Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Itu hasrat PPBM untuk (ketuai jentera Pakatan Harapan) Kedah, kerana kita tahu sokongan rakyat negeri ini kepada kita (PPBM) cukup luar biasa, saya percaya rakan Pakatan Harapan pun sedia mengetahui kedudukan kita.

“Isu pokok mengenai siapa (yang menerajui) memang soal pertama, tetapi lebih penting siapa yang boleh tentukan kejayaan. Kalau kami lihat di Kedah, pastinya PPBM boleh ke depan dan jika dipersetuj­ui untuk digerakkan sebagai parti lead (teraju) ia lebih baik supaya semangat juang kita lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pengagihan kerusi

Beliau berkata demikian selepas mempengeru­sikan mesyuarat bersama Badan Perhubunga­n PPBM Kedah yang turut dihadiri Timbalan Presidenny­a, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin pada masa sama mengesahka­n PPBM kini dalam usaha melakukan rundingan bersama tiga lagi rakan dalam Pakatan Harapan berhubung soal pengagihan kerusi untuk ditandingi dalam PRU-14 yang diakui berisiko untuk berdepan saingan tiga penjuru.

“Kita sudah tengok kedudukan Pakatan Harapan. Berdasarka­n data dan kajian kita, jelas bersetuju pertanding­an dua penjuru atau satu lawan satu lebih mudah, namun jika tak jadi begitu kita akan berdepan persaingan sama ada tiga atau empat penjuru.

“Apa situasi sekali pun kita sedang susun strategi untuk berdepan semua parti yang tidak sehaluan dengan kita, termasuk kemungkina­n melihat kerjasama politik antara PAS dan UMNO,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia