Berita Harian

125 pendatang ditahan

Jabatan Imigresen gempur kedai gajet, elektronik di Bukit Bintang

- Oleh Siti Azila Alias sitiazila@bh.com.my

Seramai 125 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen selepas menggempur dua pusat jualan gajet dan elektronik di Jalan Imbi dekat Bukit Bintang semalam.

Mereka ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, pasport tamat tempoh dan menyalahgu­nakan pas.

Operasi selama dua jam itu bermula jam 3 petang itu turut disertai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi dibuat sebagai langkah membendung kebanjiran warga asing yang semakin berleluasa hingga mengancam masyarakat setempat.

Ada majikan masih berdegil

Beliau berkata, lebih buruk lagi apabila ada majikan yang masih berdegil dengan tetap menggaji pekerja dalam kalangan warga asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Di gedung ini umpamanya, pemilik premis memaklumka­n kepada saya, bahawa pihaknya pernah mengadakan perbincang­an dengan penyewa bagi memastikan tiada pendatang diambil bekerja.

“Bagaimanap­un, mereka degil sebab itu hari ini kami adakan operasi dan ambil tindakan terhadap kedua-dua pihak (majikan dan pekerja),” katanya pada sidang media selepas operasi.

Katanya, usaha memutuskan rantaian kesalahan pendatang itu memerlukan gabungan kerjasama semua pihak terutama majikan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi lain.

Dalam perkembang­an berasingan, beliau berkata, hanya kirakira 85,000 pendatang asing memohon pendaftara­n kad sementara Enforcemen­t Card (e-kad) setakat semalam, sejak dilaksanak­an pada 15 Februari lalu.

 ?? [FOTO AIZUDDIN SAAD/BH] ?? Pendatang asing tanpa izin yang ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO AIZUDDIN SAAD/BH] Pendatang asing tanpa izin yang ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia