Berita Harian

Rumah roboh di Ringlet bukan akibat banjir

-

Cameron Highlands: Gambar yang tersebar di media sosial menunjukka­n kepingan kayu bertaburan di Ringlet, di sini kelmarin, bukan kerana kediaman roboh disebabkan banjir kilat.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Cameron Highlands, Tengku Suhaili Tengku Abas, berkata ia rumah yang dirobohkan pemilik sendiri selepas menerima pampasan bagi memberi laluan kepada Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ringlet yang akan bermula Julai ini.

“Keadaan yang nampak seakanakan teruk itu bukan kesan banjir kilat, sebaliknya ia dirobohkan sendiri pemilik selepas menerima pampasan pemindahan. Kebanyakan mereka sudah pun berpindah dari tanah rizab sungai berkenaan," katanya semalam.

Beliau ditemui pemberita ketika membuat tinjauan di kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda pekan Ringlet, petang kelmarin.

Tengku Suhaili berkata, terdapat 31 kediaman terbabit dalam RTB berkenaan dan semua pemilik sudah mendapat pampasan yang keseluruha­nnya berjumlah RM11.5 juta untuk berpindah dari kawasan itu.

Notis kosong kediaman

“Notis pengosonga­n kediaman dan dialog sudahpun selesai pada 5 April lalu dan kami juga sudah berbincang dengan penduduk bagi memaklumka­n kepentinga­n RTB itu yang dijangka siap dalam tempoh 34 bulan dari Julai ini,” katanya.

Katanya, projek dalam jajaran sepanjang 1.1 kilometer itu akan membolehka­n kelebaran Sungai Ringlet di kawasan berkenaan yang sebelum ini hanya kira-kira enam hingga lapan meter dapat ditambah sehingga 14 meter.

“Dengan siapnya RTB Sungai Ringlet di kawasan pekan Ringlet, ia dijangka dapat mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu berikutan limpahan air deras dari hulu sungai setiap kali hujan lebat,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia