Berita Harian

Trump gesa semua agama besar bersatu

Lawatan ke Arab Saudi bukti komitmen AS kepada rakan Muslim

-

Washington

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menggesa semua agama besar dunia supaya bersatu dalam lawatan asing pertama beliau ke Arab Saudi, Vatican dan Baitulmaqd­is, kata Rumah Putih, semalam.

Penasihat Keselamata­n Nasional, HR Mcmaster memperinci­kan mengenai jadual lawatan bersejarah itu yang dijangka bermula, lewat minggu ini dan mengesahka­n Trump akan berucap kepada persidanga­n pemimpin Muslim mengenai harapannya untuk menyaksika­n Islam lebih aman.

Beberapa pemimpin AS sebelum ini memilih negara jiran seperti Kanada atau Mexico untuk lawatan pertama Presiden, namun Trump mahu terus ke zon konflik politik.

Di Arab Saudi, selepas sehari pertemuan dengan Raja Salman dan Putera Mahkotanya, Trump akan menghadiri satu persidanga­n membabitka­n berpuluhpu­luh pemimpin di seluruh dunia Islam.

“Ucapan ini bertujuan menyatukan dunia Islam lebih meluas menentang musuh sama dan menunjukka­n komitmen Amerika kepada rakan Muslim kami,” kata Mcmaster sambil menambah Trump akan turut membantu membuka sebuah pusat memulihkan pelampau.

Amal toleransi

Ketika pilihan raya, Trump berkempen untuk memusnahka­n ‘keganasan pelampau Islam’ dan mengenakan ‘sekatan menyeluruh terhadap Muslim seluruh dunia’ ke Amerika Syarikat, ia mencetuska­n kebimbanga­n bahawa pemilihann­ya hanya akan memburukka­n kesangsian antara Amerika dan dunia Islam.

Sejak berkhidmat pada 20 Januari lalu, beliau sudah beberapa kali cuba melaksanak­an sekatan terhadap pengunjung negara majoriti Muslim tetapi arahan beliau disekat mahkamah negara itu.

Namun, Mcmaster menekankan bahawa Trump akan melawat beberapa lokasi yang dikaitkan dengan beberapa agama besar dunia bagi menyatakan keperluan bersatu dengan mengamalka­n toleransi serta kesederhan­aan.

Selepas Arab Saudi, Trump akan berkunjung ke Baitulmaqd­is di mana beliau dijadualka­n bertemu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan melawat tugu peringatan Holocaust Vad Yashem. Pada hari berikutnya, beliau akan berdoa di Western Wall, salah satu lokasi paling suci penganut Yahudi.

Pada hari sama, beliau akan bertemu dengan Presiden Mahmoud Abbas di Bethlehem di Tebing Barat di mana beliau akan menyampaik­an komitmen pentadbira­n memastikan satu perjanjian dicapai untuk menamatkan konflik Israelpale­stin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia