Berita Harian

Nasi dagang, keropok lekor Terengganu tembusi pasaran antarabang­sa

Terengganu Inc menerusi T-kitchen rangka strategi pasarkan menu istimewa

- Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

Jika Sarawak terkenal dengan hidangan mee kolok, Terengganu pula terkenal dengan nasi dagang dan keropok lekor antara makanan tradisiona­lnya yang menjadi antara tarikan pelancong ke negeri itu.

Bagi kalangan pelancong, tidak lengkap kunjungan ke Terengganu jika tidak menjamu nasi dagang.

Sepanjang berada di negeri itu, pelbagai pilihan nasi dagang popular boleh dinikmati bermula dari Nasi Dagang Kak Pah, Nasi Dagang Chendering, Nasi Dagang Kak Jah Bukit Besar dan pelbagai lagi.

Pendek kata, nasi dagang dan keropok lekor boleh dianggap sebagai ejen promosi pelanconga­n negeri, kerana keenakan rasa dan keunikan makanan itu sendiri yang sinonim dengan Terengganu.

Bertitik tolak daripada permintaan tinggi terhadap nasi dagang dan keropok lekor di negeri itu, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc Sdn Bhd (Terengganu Inc) menerusi T-kitchen mengorak langkah untuk memasarkan nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku, demi memenuhi permintaan ramai, terutama yang berada di luar negeri dan negara ini.

Rundingan dengan syarikat di Eropah

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, berkata pihaknya kini dalam rangka untuk memasarkan nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku ke seluruh negara dan bakal menembusi pasaran negara luar tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan beberapa syarikat di Eropah terutama di United Kingdom (UK) untuk memasarkan produk nasi dagang sejuk beku di seluruh negara itu.

“Kita sudah mempunyai syarikat makanan segera di UK, iaitu Chicken Cottage di mana kita merancang untuk menjadikan­nya sebagai salah satu pusat edaran nasi dagang sejuk beku.

“Kita optimis bahawa produk ini akan mendapat permintaan yang tinggi di sana kerana kita bakal mempunyai beberapa pilihan lauk untuk disajikan dengan nasi dagang,” katanya.

Wan Ahmad Rudirman berkata, antara pilihan lauk yang bakal disediakan dalam pek nasi dagang sejuk beku itu ialah ikan tongkol, udang, ayam dan daging.

Katanya, oleh kerana kebanyakan pembeli di Chicken Cottage adalah pengguna yang mencari makanan halal, beliau yakin produk nasi dagang sejuk beku itu akan turut menerima permintaan dalam kalangan pengguna.

Beliau berkata, dalam usaha memulakan langkah untuk mengembang­kan perniagaan nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan syarikat penyedia makanan siap dimasak, Brahim’s Holdings Bhd.

Jalin kerjasama bersama Brahim’s

Beliau berkata, melalui lawatan kerja ke Brahim’s Holdings di Sepang, Selangor, baru-baru ini, pihaknya daan Brahim’s Holdings bercadang menjalinka­n satu kerjasama strategik bagi mengembang­kan produk keluaran Terengganu Inc.

Katanya, lawatan yang turut disertai beberapa delegasi yang terbabit dalam penyediaan nasi dagang dan keropok lekor dari Terengganu itu sudah melihat proses penyediaan makanan dibuat oleh pihak Brahim’s.

Bangunkan kilang baharu

“Melalui kerjasama yang bakal dilakukan ini, kita akan membangunk­an kilang baharu untuk memproses nasi dagang kita di Chendering, selain dari sudut pemasaran produk.

“Dengan perbincang­an dilakukan, mereka akan memasukkan produk kami dalam tren katering untuk perjalanan hari raya melalui KTM Electric Train Services (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis,” katanya.

Wan Ahmad Rudirman berkata, pihaknya juga merancang membina kilang baharu bagi memenuhi permintaan makanan sejuk beku itu, namun buat masa ini masih beroperasi di kilang sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif sebelum ini juga menyatakan hasrat supaya pemasaran nasi dagang sejuk beku diperluask­an ke seluruh Australia, di mana ramai pelajar Malaysia berpotensi menjadi ‘ejen promosi pelanconga­n negeri’ secara tidak langsung.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia