Berita Harian

‘Jadikan medan balas dendam’

-

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mahu barisan pemain negara menjadikan pertemuan dengan Jepun dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2017, hari ini sebagai medan untuk membalas dendam.

Ia susulan kekalahan 2-3 dialami skuad negara pada aksi terakhir Kumpulan C di tangan negara Matahari Terbit itu sekali gus sekadar muncul naib juara kumpulan.

“Sudah pasti ia peluang untuk membalas dendam. Saya tetap percaya kami masih ada peluang yang baik untuk melangkah ke separuh akhir, kami cari formula terbaik bagi memastikan kemenangan ke atas Jepun kali ini.

“Tiada apa yang mustahil. Semua pemain sebenarnya sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan dengan Jepun semalam (kelmarin) cuma nasib tidak menyebelah­i kami. Jadi, diharapkan kali ini tuah memihak kepada Ma- laysia,” kata Frost ketika dihubungi di Gold Coast, Australia, semalam.

Pulih semangat

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang turut berada di Gold Coast, berkata tempoh rehat sehari semalam digunakan bagi mengembali­kan semula semangat barisan pemain negara agar mereka bangkit bagi mara ke separuh akhir.

“Saya akui kita mendapat undian yang sukar dengan bertemu Jepun sekali lagi. Jika menang kita dijangka menentang China.

“Namun, kita dapat berehat sehari hari ini (semalam), jadi kita gunakan untuk memulihkan semangat pemain terutama beregu lelaki kita, Goh V Shem-tan Wee Kiong,” kata Norza.

V Shem-wee Kiong yang diletakkan sandaran untuk menyumbang mata pertama skuad negara gagal berbuat demikian apabila tewas kepada Takeshi Kamura-keigo Sonoda 21-18, 17-21, 16-21.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia