Berita Harian

Media sosial petunjuk status mental

-

Saya amat terkejut dengan tindakan segelintir orang kita yang bertindak di luar batas tata susila yang ada terhadap ‘patung’ gambar seorang wanita bertudung di stesen minyak jenama terkenal negara ini sehingga memaksa syarikat berkenaan menarik balik dari semua stesennya.

Tindakan yang diviralkan di media sosial mengenai bagaimana segelintir lelaki tanpa segan silu bertindak di luar batasan termasuk mencium dan meraba patung promosi berkenaan adalah sangat mengejutka­n. Malah, ada yang membawanya balik ke rumah untuk melayan imaginasi nakal yang sangat pelik dan tidak wajar.

Agaknya hal seperti ini sudah lama berlaku dan kita bernasib baik kerana dengan ada media sosial, dapat memperliha­tkan tingkah laku orang kita yang tidak terfikir oleh kita. Jika ada pun, kita sering didedahkan dengan sikap dan tingkah laku obses tertentu terhadap sama ada lelaki atau wanita malah juga dianggap tarikan yang beri kesan besar kepada emosi dan psikologi seseorang dalam wayang atau kisah di luar negara.

Bagi saya, media sosial menghantar petunjuk penting status kesihatan mental, terutama berkaitan seksual dalam kalangan anggota masyarakat yang seharusnya tidak dipandang ringan. Walaupun ada yang mungkin menganggap penularan media sosial itu sebagai memalukan bangsa dan negara, namun hakikatnya itulah yang berlaku hari ini. Jika kita tidak melihatnya sebagai serius, akan membawa kesan lebih buruk pada masa hadapan.

Meneliti paparan dalam media sosial saban hari akan mengeluark­an kita daripada hanya mimpi indah kemurnian dan kesopanan orang kita yang sering digambarka­n dengan sikap berbudi pekerti mulia dan akal budi yang tinggi sehingga menjadikan kita alpa realiti sebenar yang ada mengenai cabaran dalam membangunk­an masyarakat madani pada masa hadapan.

Jika ingin melestarik­an nilai budaya tinggi kita pada masa hadapan, petunjuk seperti ini penting untuk dikaji. Kita boleh menuding jari kepada syarikat yang dikatakan memperguna­kan wanita untuk tujuan komersial dan melarang wanita kita menjadi model iklan atau promosi sedemikian. Namun kita perlu sedar wanita bukan sahaja terdedah dalam konteks iklan, promosi, wayang dan komersial.

Wanita sentiasa berada di sekeliling kita di mana sahaja yang boleh jadi objek tarikan sama ada berpakaian yang mengumpan kepada keadaan sedemikian atau yang bertutup litup. Mereka yang obses dan tidak mampu menahan atau mengawal keinginan seksualnya boleh bertindak liar apabila mempunyai peluang.

Rukun Negara

Tidak mustahil mereka juga mampu bertindak melangkaui apa yang berlaku terhadap patung wanita itu. Kita perlu melihatnya secara holistik dengan memperkasa­kan nilai yang ada. Rukun Negara menyebut mengenai Kepercayaa­n kepada Tuhan sebagai prinsip pertama dan Kesopanan dan Kesusilaan dalam prinsip kelimanya.

Kedua-duanya saling berkait dalam memastikan nilai agama, keimanan, kesopanan dan kesusilaan menjadi mekanisme pertahanan diri yang kuat. Pelbagai pertubuhan sukarela dan pihak yang berkaitan perlu memainkan peranan sewajarnya. Anak perlu dididik seawal mungkin dengan nilai ini dan menghormat­i orang lain, termasuk berlainan jantina melalui institusi keluarga dan pendidikan yang ada.

Masyarakat perlu terus diperingat­kan pentingnya pegangan teguh kepada nilai ini. Inilah nilai asas yang semakin longgar dan semakin diambil mudah. Nafsu perlu dikawal, keinginan terhadap sesuatu ada batas sempadanny­a. Walaupun agama sering mengajar kita mengenai sikap malu yang perlu ada sebagai teras integriti dan akauntabil­iti, malangnya perasaan ini kian terhakis sekarang ini.

Penulis juga berharap, pakar kaunseling dan psikologi yang ramai hari ini mampu menggemble­ng tenaga sukarela untuk membantu dan memainkan peranan sewajarnya. Sesuatu usaha perlu dirintis segera untuk menangani gejala seperti ini. Mereka yang mempunyai pengetahua­n agama tinggi, jangan hanya salahkan wanita dan menganggap mereka penyebabny­a.

Berhentila­h memangsaka­n mangsa. Islam pun menetapkan kaedahnya, namun dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, pegangan agama dan budaya, wujud persepsi berbeza-beza mengenai perkara ini. Sebaliknya orang lelaki juga perlu ditarbiyah dan diberi pendidikan mengawal perasaan dan keinginan seksual yang keterlalua­n. Yang pasti, ini sebahagian petunjuk masalah sosial yang tidak harus kita abaikan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia