Berita Harian

Pembanguna­n akhlak atasi isu buang bayi

-

Berita pembuangan bayi yang dilaporkan media sangat menyayat hati. Bayi tidak berdosa dicampak begitu saja, malah ada yang dibakar dan disumbat dalam tandas. Terbaru, berita penemuan mayat bayi perempuan tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan dipercayai dimakan anjing liar dijumpai orang ramai di hadapan kilang Hoe Hup, Jalan Bakar Arang, Sungai Petani baru-baru ini membuktika­n isu pembuangan bayi masih menghantui kita.

Penyakit sosial ini jenayah serius yang mesti dibanteras dan pelakunya harus dihukum semaksimun mengikut peruntukan undang-undang yang ada. Kita tidak mahu isu ini berlarutan ketika menuju negara maju. Oleh kerana ia berkait nyawa insan kecil tidak berdosa, perbuatan tidak berperikem­anusiaan itu wajar diberi perhatian serius.

Bayi adalah anugerah kepada suami isteri. Namun, ia akan menjadi bebanan kepada pasangan kekasih yang terlanjur. Kesan psikologi (dosa) melahirkan anak di luar nikah menyebabka­n mereka tidak sanggup memikul tanggungja­wab memelihara bayi yang dilahirkan itu, lalu mengambil jalan pintas dengan membuang atau menghapusk­an bayi tidak berdosa itu.

Tertutup hati

Bukannya pelaku itu tidak tahu saluran yang sepatutnya mereka gunakan untuk mengatasi beban mereka itu tetapi sesetengah mereka itu sudah tertutup hati dan perasaanny­a sehingga sanggup melakukan jenayah terkutuk itu. Mereka sanggup buang bayi di mana-mana sahaja; di tong sampah, tandas, sungai, longkang, rumah ibadat serta tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api, stesen bas dan sebagainya. Justeru, mereka yang didapati bersalah harus dikenakan hukuman berat.

Perlu diakui terdapat kes individu membuang bayi disebabkan berlakunya pencabulan kehormatan wanita atau rogol. Namun, perlakuan membuang bayi dalam apa keadaan sekali pun tetap jenayah. Keluarga harus membantu jika terdapat anak gadis terjebak dalam isu ini.

Harus difahami bahawa kebanyakan kes pembuangan bayi adalah berpunca daripada pergaulan bebas. Justeru, masyarakat mesti disedarkan tentang keburukan pergaulan bebas serta saluran yang patut digunakan jika mereka terjebak dalam isu terbabit.

Apa yang boleh dilakukan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya remaja ialah kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menjalanka­n kempen berterusan mengenai isu ini sama ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, kilang dan taman perumahan. Kempen kesedaran ini haruslah dijalankan secara konsisten dan berterusan.

Bagi mereka yang sudah dikenali pasti terjebak dalam perbuatan ini harus diberikan perkhidmat­an kaunseling. Saya sendiri pernah jalankan khidmat kaunseling ke atas remaja yang terjebak dalam masalah pergaulan bebas sehingga membawa kepada kehamilan.

Saranan penulis kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah mesti mewujudkan lebih banyak pusat kaunseling dalam komuniti.

Isu pembuangan bayi beri impak negatif kepada negara. Oleh itu, pembanguna­n pesat negara harus diimbangi dengan pembanguna­n rohani dan pembinaan akhlak mulia generasi muda.

Harus disedari, apabila masalah sosial berkembang dalam masyarakat, maka kerajaan perlu memperuntu­kkan perbelanja­an besar bagi mengatasin­ya. Sesungguhn­ya mencegah lebih baik daripada mengubat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia